Raya mengejut, Ayam Bismi jual ayam hingga lewat malam

ALOR SETAR: Sebuah syarikat penternakan dan pengedaran ayam di Simpang Empat Kangkong, Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) di sini mengambil inisiatif mengadakan jualan ayam segar sehingga lewat malam ini.

Menurut presiden syarikat berkenaan, Jaffri Ahmad, pusat jualan ayam tersebut dibuka semula kira-kira pukul 9 malam tadi selepas pengumuman Hari Raya Aidilfitri esok bagi membantu penduduk mendapatkan bahan mentah itu.

“Ini adalah atas rasa prihatin syarikat. Kami tahu ada yang belum memperoleh bekalan ayam lagi kerana mungkin menunggu sehingga esok.

“Bekalan di tempat lain mungkin kehabisan jadi di Ayam Bismi mereka boleh datang beli sehingga pukul 12 tengah malam sementara stok masih ada. Sekurangnya ada tempat orang boleh pergi untuk beli ayam segar,” katanya di sini malam ini.

Menurut  beliau, pusat jualan berkenaan termasuk outlet lain di seluruh negeri ini diserbu pelanggan sejak ia dibuka selepas waktu Subuh hari ini.

“Kilang Ayam Bismi mengeluarkan bekalan penuh hari ini iaitu 4,000 ekor sejam. InsyaAllah ayam cukup untuk pelanggan.

“Diharapkan bekalan ayam ini dapat membantu umat Islam menyediakan juadah kegemaran mereka untuk hari raya esok,” katanya.

Scroll to Top