Tak Sanggup Lihat Orang Sekeliling Lapar

Umum sedia maklum, bukanlah semua di kalangan masyarakat dilahirkan dan dibesarkan dalam persekitaran yang cukup serba-serbi. Mungkin ada dalam golongan penduduk tempatan yang tidak mampu membeli bahan masakan untuk menyediakan makanan di rumah sehingga menyebabkan mereka terpaksa ikat perut. Oleh itu adalah penting bagi setiap individu untuk menerapkan sikap bertimbang rasa dan sentiasa membantu mereka yang sedang memerlukan.

Cakna dengan sesetengah penduduk yang tidak dapat sumber makanan mencukupi, pengasas Rumah Makan Percuma (RMP) dan Pengarah Urusan Bismi Empire, Mazlina Kamarudin berkata dia tidak sanggup melihat orang sekeliling berlapar.

Oleh disebabkan itu, ia telah mendorong bekas kerani tersebut untuk berkongsi rezeki kepada orang ramai dengan memberikan makanan secara percuma.

Buat mereka yang hadir ke premis RMP, makanan percuma akan tersedia untuk 550 orang setiap hari kecuali hari Sabtu.

Apa yang lebih mengagumkan adalah pemberian itu terbuka kepada sesiapa sahaja tidak kira status, agama atau bangsa seseorang individu, lapor Sinar Harian.

Tidak terhad kepada golongan asnaf sahaja, wanita itu turut mengalu-alukan kedatangan mereka yang berkemampuan bagi memeriahkan gerai makan tersebut.

Hal ini kerana golongan yang mampu juga dikatakan seronok dengan suasana makan secara beramai-ramai di RMP.

“Terinspirasi Dengan Sikap Gigih Arwah Bapa”

Jelas Mazlina, inisiatif yang dilakukan untuk rakyat setempat diinspirasikan daripada kegigihan bapanya selepas banyak melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan.

Ini adalah kegembiraan saya yang paling utama (beri makan percuma) kerana sejak kecil saya telah disemai oleh arwah bapa untuk melakukan kebaikan dan saya memang berniat nak bagi manfaat kepada orang ramai.

Mazlina Kamarudin.

ambah wanita itu lagi, dia berasa seronok selepas melihat penduduk yang tidak berkemampuan dapat makan bersama-sama di kedai makannya.

“Mazlina Harap Program RMP Dapat Dijadikan Contoh”

Sementara itu, Mazlina turut berharap agar inisiatif kecil tersebut dalam membantu masyarakat dapat dijadikan contoh kepada peniaga lain agar program sebegitu rupa boleh diperkembangkan pada masa akan datang.

Ulasnya, banyak lagi keperluan asas lain tidak dapat dibeli oleh golongan asnaf untuk menyediakan juadah di rumah seperti beras, minyak masak dan lain-lain.

Kadang-kadang kita merasakan diri sudah cukup susah tetapi sebenarnya ramai lagi yang susah daripada kita, jadi apa salahnya kita bantu antara satu sama lain. Harta itu sebenarnya ujian buat diri kita juga dan diibaratkan seperti sungai yang mengalir.

Mazlina Kamarudin.

“Mula Beroperasi Sejak 2020”

Untuk info, RMP telah mula beroperasi sejak 6 Julai 2020 bagi membantu golongan memerlukan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 beberapa tahun lalu.

Mazlina menyifatkan inisiatif tersebut adalah antara kenangan manis buat syarikatnya selepas sudah lebih 30 tahun berkecimpung dalam bidang penternakan, pemprosesan dan pengedaran ayam.

Rumah Makan Percuma juga sering memuat naik perkongsian di laman TikTok menunjukkan sambutan hangat warga tempatan dalam memeriahkan kedai makan pada setiap hari.

Difahamkan, RMP beroperasi seperti biasa pada bulan Ramadan ini dan dibuka pada 5 petang. Makanan pula akan dibungkus dalam polisterin sebelum diagihkan kepada orang ramai.

Scroll to Top