Ayam CSR, galak masyarakat bantu asnaf ketika PKP

PELBAGAI usaha boleh dilakukan oleh setiap individu untuk bersama-sama menghulurkan bantuan kepada masyarakat mengikut keupayaan masing-masing apatah lagi ketika pandemik Covid-19 masih belum reda sepenuhnya.

Atas alasan itu, syarikat Ayam Bismi Sdn. Bhd. meneruskan tradisi menghulurkan sumbangan melalui khidmat sosial korporat (CSR), dengan pemberian ayam percuma kepada golongan memerlukan.

Menurut Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn. Bhd., Hajah Mazlina Kamarudin, inisiatif tersebut diwujudkan untuk membantu mereka tidak berkemampuan terutama golongan asnaf dengan pemberian seekor ayam segar.

“Program Ayam CSR ini terbahagi kepada dua iaitu pertama melalui pemberian daripada syarikat Ayam Bismi sendiri dan kedua, daripada pihak atau individu lain yang ingin menyumbang.

“Matlamat syarikat adalah memberi peluang kepada orang ramai termasuk syarikat korporat untuk menderma dan membantu orang ramai yang memerlukan. Pemberian ayam yang segar, halal dan bersih daripada syarikat ini juga membolehkan masyarakat daripada golongan asnaf ini dapat makan makanan yang berkhasiat,” katanya.

Beliau menambah, syarikat turut menyediakan subsidi daripada setiap pembelian ayam untuk didermakan kepada mereka yang memerlukan itu.

 

“Contohnya, semalam, salah seorang pengedar sah kita daripada Putrajaya menyumbang 100 ayam kepada penduduk sekitar Simpang Empat,” katanya.

 

Jelasnya, syarikat berkenaan turut mengalu-alukan lebih banyak individu atau syarikat turut serta dalam program kebajikan ini dalam usaha membantu lebih banyak golongan memerlukan.

 

Dalam pada itu, menurut salah seorang penyumbang yang juga pengedar Ayam Bismi di Putrajaya, Puteh Soraya A Rahman, 42, beliau menyertai program tersebut sebagai usaha membantu meringankan beban masyarakat terutama yang terjejas akibat PKP penuh (lockdown) ketika ini.

 

“Saya yakin syarikat Ayam Bismi boleh uruskan kerja-kerja kebajikan ini dengan baik,” katanya yang menyumbang 100 ekor ayam bagi program terbaharu Ayam CSR semalam.

 

Bagi mereka yang ingin menyumbang melalui program Ayam CSR ini boleh menghubungi talian, 0195900060 untuk maklumat lanjut.

 

Syarikat Bismi Empire Sdn. Bhd. adalah sebuah syarikat milikan bumiputera yang menekankan konsep halal 100 peratus kepada ternakan, sembelihan dan mengedarkan produk.

 

Bismi Empire Sdn Bhd berasal dari syarikat asal iaitu memproses dan menjual Ayam Bismi yang diasaskan oleh Tuan Haji Jaffri Ahmad pada 1988.

 

Ayam Bismi Sdn. Bhd. dan Bismi Cergas Sdn Bhd adalah pemilik jenama Ayam Bismi yang telah didaftarkan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia.

 

Produk-produk utama syarikat ialah ayam daging hidup, ayam segar beku (whole chicken) dan ayam segar beku (siap potong dan cuci). Selain itu, syarikat juga menyediakan produk sampingan seperti chicken popcorn, ayam perap, ayam kisar dan rempah ayam goreng tandoori.

Scroll to Top