Pengasas mahu RMP jadi ejen perpaduan

PEJAM celik sudah empat tahun penubuhan Rumah Makan Percuma (RMP) di Simpang Empat, Alor Setar selepas penularan pandemik Covid-19 pada 2019 sebagai salah satu usaha Ayam Bismi membantu golongan terkesan khususnya.

Sepanjang empat tahun itu juga yang penuh onak duri kerana dunia penternakan ayam ini ada naik turunnya namun RMP masih utuh berjasa kepada penduduk setempat terutama bagi mereka yang berkemampuan.

Namun bukan sekadar menjadi tempat menjamu selera tetapi RMP ini juga diharapkan menyaksikan pertemuan segenap lapisan penduduk tanpa mengenal latar belakang, agama dan bangsa demi meraikan perpaduan.

Itu harapan pengasas RMP, Hajah Mazlina Kamarudin yang juga Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn Bhd (Ayam Bismi).

“Harapan saya agar tempat ini orang ramai bertemu dan bermesra tanpa mengira status mereka dan latar sosial mereka. Saya mahu RMP jadi ejen perpaduan seperti ini kerana tempat dikunjungi pelbagai lapisan penduduk.

“Saya harap pengunjung yang datang sini berbaik-baik dan bermesralah antara satu sama lain,” harapnya.

Harapan itu dizahirkan ketika Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat di Rumah Makan Percuma (RMP) semalam yang turut meraikan 15 anak-anak tahfiz dari Maahad Tahfiz As Solehah Kuala Kangkong.

Menurut beliau, di sebalik dunia industri ayam yang penuh dugaan ketika ini Ayam Bismi berharap RMP tetap berdiri teguh memandangkan premis itu ditaja oleh syarikat berkenaan selain dermawan dari seluruh Malaysia.

“Ini adalah hadiah Ayam Bismi untuk orang ramai demi keberkatan perjuangan syarikat ini dalam menyediakan bekalan bahan utama kepada rakyat. Ayam Bismi berharap perjuangan ini berterusan,” harapnya.

RMP diwujudkan sejak Julai 2020 di sebuah premis berdekatan ibu pejabat Ayam Bismi yang menyediakan makan tengah hari percuma kepada orang ramai terutama penduduk setempat yang kurang berkemampuan dan terjejas akibat Covid-19.

Bermula dengan 300 pengunjung, ketika ini RMP menyediakan makanan kepada 550 pengunjung setiap hari kecuali Sabtu.

#Ayambismi
#Rumahmakanpercuma

Scroll to Top