Sebuah lagi ‘masjid’ terbina di Ayam Bismi

ALOR SETAR: Andai ada pencalonan bagi anugerah pasangan suami isteri paling ramai bekerja satu pejabat untuk Malaysia Book of Records, Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) ini paling layak.

Masakan tidak? Sehingga kini syarikat berkenaan mempertemukan lebih 19 pasangan pekerjanya yang berakhir ke jinjang pelamin.

Itu termasuk terbaharu, pasangan pengantin, Zulhilmi Mohd. Fauzi, 27, dan Roshafika Rosli, 20, kedua-duanya pekerja am di bahagian pemprosesan produk ayam segar beku (FFC) Ayam Bismi yang selamat diijabkabulkan semalam.

Dengan sekali lafaz, pasangan itu sah menjadi suami isteri dalam majlis akad nikad diadakan di Masjid Teluk Bulang Simpang Empat dekat sini.

Pada majlis yang hanya dihadiri anggota keluarga kedua-dua mempelai itu, Roshafika menerima mas kahwin RM588.88 serta seutas rantai tangan.

Lebih menarik tentang pasangan ini adalah jodoh yang kuat di Ayam Bismi memandangkan mereka baru dua bulan bekerja bersama sebelum jatuh hati dan mengambil keputusan untuk berkahwin.

“Saya sudah dua tahun bekerja di Ayam Bismi tetapi isteri baru dua bulan. Sekitar Julai lepas, apabila Fika masuk kerja, saya menyukainya dan bila berterus terang ingin mengahwininya, Fika setuju.

“Pada 22 Ogos lepas, keluarga saya merisik dia dan terus bertunang,” cerita Zulhilmi atau Mie dalam kalangan warga Ayam Bismi.

Pemuda berasal dari Sungai Tiang, Pendang ini mengakui, mereka belum sempat mengenal diri masing-masing sepenuhnya apatah lagi bercinta namun menganggap percintaan selepas perkahwinan adalah yang terbaik.

“Saya tertarik dengan Fika terutama sikapnya yang nak bekerja tak macam dengan banyak remaja lain. Dia tak kisah bekerja di bahagian proses ayam ini, saya rasa dia suka berdikari.

“Saya harap jodoh kami berkekalan, Till Jannah. Cuma saya rasa beruntung mendapat jodoh bekerja sekali di bawah satu bumbung,” katanya.

Dalam pada itu menurut Pengarah Urusan Ayam Bismi, Hajah Mazlina Kamarudin yang gembira mendengar perkhabaran pernikahan pengantin baharu itu turut mengucapkan tahniah dan mendoakan yang terbaik.

“Alhamdulillah, saya doakan perkahwinan mereka kekal sehingga ke akhir usia. Saya harap masing-masing dapat melayari rumahtangga dengan toleransi dan sikap positif. Cuma saya ingin nasihatkan pasangan pengantin baharu ini, setiap perkahwinan pasti ada masalah tidak kira baik mana pun pasangan kita kadang kala masalah akan datang.

“Apa yang penting cara kita selesaikan masalah itu dengan sikap masing-masing, bagaimana kita cuba terima secara positif masalah itu atau positifkan cabaran itu yang akan mendatang dalam perkahwinan masing-masing pastinya. InsyaAllah jika ada sikap toleransi itu, perkahwinan akan kekal, “ katanya.

Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) adalah sebuah syarikat milikan bumiputera yang menekankan konsep halal 100 peratus kepada ternakan, sembelihan dan pengedaran produk.

Ketika ini syarikat berkenaan merupakan satu-satunya syarikat bumiputera yang mempunyai rangkaian kilang bersepadu terbesar di Kedah dengan perolehan lebih RM160 juta, tahun lepas.​

Terdapat sebanyak 420 pekerja dalam syarikat berkenaan termasuk di segmen penternakannya.

 

Scroll to Top