KUALA NERANG: Siapa sangka dulu tumbuh meliar di sana sini tiada siapa yang ingin memandang namun kini menjadi pujaan ramai sehingga nilainya dikatakan mampu mencecah ribuan ringgit.
Semuanya kerana pandemik Covid-19 yang melanda ketika ini apabila pelbagai hobi duduk rumah naik daun termasuk memiliki pokok hiasan seperti pokok keladi ini.
Memandangkan permintaan yang tinggi terhadap tanaman tersebut terutama yang tular kerana pelbagai keunikannnya, harga pokok keladi pun naik meroket sehingga kadangkala tak masuk dek akal.
Menurut seorang penjual pokok keladi, Ramlah Siraj, 47, dari Padang Sanai, dia tak menyangka mula menyimpan keladi sebagai hobi kini menjadi sumber pendapatannya.
“Saya mula meminati pokok keladi ini sejak dua tahun lepas malah saya pernah ambil kursus penanamannya untuk meningkatkan pengetahuan tentang keladi di Padang Besar, Perlis.
“Terdapat lebih 500 pokok keladi daripada 100 spesies di nurseri saya ini,” katanya ketika ditemui di nurseri itu di sini baru-baru ini.
Kata Ramlah yang juga merupakan pesara tentera, minatnya itu mendapat dorongan kuat daripada suaminya, Mohd. Radzuan Yunan, 49.
“Apabila kami bersara daripada tentera tujuh tahun lepas macam-macam kerja yang kami buat untuk cari rezeki dan Alhamdulillah perniagaan keladi ini agak lumayan. Lagipun saya memang minat pokok hiasan,” katanya.
Menurut Ramlah, terdapat pelbagai jenis pokok keladi di situ dan yang paling hangat sekarang ialah yang paling rare seperti Florida Beauty, Monstera, Alocasia, Calocasia Pharaoh Mask atau Topeng Firaun.
“Sejak PKP ini minat orang terhadap pokok hiasan keladi ini memang tinggi. Harga setiap keladi bergantung kepada jenis, bentuk daun dan warnanya. Semakin rare semakin tinggi harganya,” katanya.
Ramlah tidak menafikan dia mampu menjual keladi Florida Beauty yang mempunyai bentuk helaian daun dan warna yang unik pada harga RM1,700 bagi sehelai daunnya.
“Sekarang orang minat juga keladi Topeng Firaun kerana bentuk daunnya sangat unik,” katanya.
Menurutnya selain mencantikkan hiasan dalaman rumah, tanaman keladi juga memberi pengudaraan dalam rumah yang baik.
“Saya menjual tanaman ini melalui ejen-ejen saya sahaja memudahkan saya menguruskan tanaman di nurseri,” katanya.
Mereka yang berminat dengan tanaman ini boleh menghubungi salah seorang ejen Ramlah, Nazmi di talian 013 7628380.




