SUDAH jadi rutin harian Ahmad Wahab, 65, mencari dan menjual bahan terbuang untuk sesuap nasi.
Rezeki Ahmad hari ini setelah menjual semula bahan terbuang itu cuma RM1.50, namun dia bernasib baik setandan pisang di laman rumahnya sudah boleh dipangkas untuk dijual.
Dengan wang jual plastik terbuang dan setandan pisang berjumlah RM8 itu, dia ke pusat jualan Ayam Bismi di Simpang Empat di sini untuk membeli seekor ayam atas permintaan isteri, Roslah Majid, 60, dan anaknya di rumah.
Bak kata orang rezeki memang tak salah alamat, kelibat Ahmad meraih perhatian staf Ayam Bismi yang kebetulan mencari golongan asnaf untuk pemberian ayam percuma di bawah program Ayam CSR.
“Memang rezeki pakcik kan? Mai (datang) bawa duit RM8 lepas jual pisang dan plastik tadi, tiba-tiba Ayam Bismi bagi ayam percuma dua ekor.
“Alhamdulillah, orang rumah tentu seronok ni bawa rezeki lebih sikit. Terima kasih kepada mereka yang sudi derma,” katanya yang menetap di Kangkung Simpang Empat.
Menurut Ahmad, urusan menyara keluarga tertanggung di bahunya sendirian setelah anak tunggalnya, Mohd. Adli, 30, mengalami masalah penglihatan sejak beberapa tahun lepas.
Pemberian ayam percuma kepada golongan tidak berkemampuan melalui program Ayam CSR itu merupakan inisiatif syarikat Ayam Bismi Sdn. Bhd. untuk membantu mereka yang memerlukan.
Syarikat Bismi Empire Sdn. Bhd. adalah sebuah syarikat milikan bumiputera yang menekankan konsep halal 100 peratus kepada ternakan, sembelihan dan mengedarkan produk. Bismi Empire Sdn. Bhd. berasal dari syarikat asal iaitu Memproses dan Menjual Ayam Bismi yang diasaskan oleh Haji Jaffri Ahmad pada 1988.