Dari proses 50 ekor ayam, kini miliki 18 ladang bersepadu terbesar di utara tanah air

NAMA Ayam Bismi tentu bukan asing lagi dalam sektor ternakan, pemprosesan dan pengedaran ayam di bahagian utara tanah air malah merupakan satu-satu syarikat bumiputera yang mempunyai rangkaian kilang bersepadu terbesar dengan perolehan lebih RM160 juta, tahun lepas.

​Di belakangnya adalah, Haji Jaffri Ahmad selaku Pengasas dan Presiden Ayam Bismi Empire Sdn. Bhd., yang sudah 33 tahun berkecimpung dalam industri tersebut dan terus berkembang saat ini.

​Berkat kegigihan anak jati Kedah itu sebuah bisnes kecil-kecilan yang bermula hanya dengan memproses dan menjual 50 ekor ayam berkesudahan dengan 18 ladang dengan kapasiti ternakan dan pemerosesan di bawah Bismi Empire Sdn. Bhd. atau Ayam Bismi itu adalah lebih dua juta ekor setiap kitaran.

​Ia sekali gus menjadikan Ayam Bismi sebagai sebuah syarikat bumiputera terbesar dalam sektor penternakan, pemerosesan dan pengedaran ayam.

​Lahir dengan nama Ayam Bismi, idea bisnes Haji Jaffri yang kuat didukung isteri kesayangannya, Hajah Mazlina Kamarudin itu, bermula pada 1988 setelah beliau menamatkan pengajian dalam industri perladangan di UiTM di Arau, Perlis.

​“Bila saya keluar dari ITM (kini UiTM) zaman inflasi jadi memang susah nak dapat kerja. Tetapi memandangkan saya suka berniaga sejak di bangku sekolah sampai ke ITM.

​Kecil-kecil sekolah rendah saya diasuh oleh keluarga bawa kuih ke kedai sampai ke masa sekolah saya jual buah di tepi jalan, tidur di tempat berniaga, sudah biasa… pernah suatu masa lepas SPM ambil upah cuci bas dan di ITM macam-macam kerja saya buat.

​“Memang saya minat berniaga. Sehingga lepas habis belajar, saya diperkenalkan dengan seorang rakan yang mengajak saya membuka bisnes memproses ayam,” kata Penternak Jaya Kedah 2003 ini dan penerima Anugerah Pemasar Terbilang Lelaki Kebangsaan-FAMA 2004.

​Bercerita lanjut kata Pengasas Ayam Bismi ini, pusat pemerosesan ayam pertama yang diusahakan dengan rakan kongsinya itu terletak bersebelahan dengan rumah keluarganya iaitu tapak asal Pusat Jualan dan Ibu Pejabat Ayam Bismi ketika ini.

​“Saya masih ingat hari pertama saya sembelih 50 ekor ayam yang dibeli daripada FAMA dan seronok untuk bekalkan. Saya ingat lagi dengan sebuah pikap buruk saya bawa ayam itu untuk dihantar ke pemborong.”

​“Itu pun bukan senang kerana saya mampu jual 10 ekor sahaja dan lebih bawa balik letak dalam peti sejuk rumah kawan kerana nak bawa balik risau ibu bapa bimbang,” ceritanya.

​Keadaan menjadi lebih buruk apabila rakan kongsi beliau turut menghilangkan diri menyebabkan beban untuk meneruskan perniagaan tersebut tertanggung di bahunya sendirian.

​“Sedikit demi sedikit bisnes itu saya besarkan dan saya pun sudah jadi pembekal ayam mahu tak mahu terpaksa teruskan bisnes ayam. Dari situlah saya perlahankan bangunkan diri langkah demi langkah.”

​”Bulan puasa saya berniaga di tepi pasar, dan banyak dugaan juga dimarah peniaga lain dan disaman majlis. Sehinggalah saya mula dapat tapak tetap di Pasar Tani Alor Setar dan dari satu meja tambah ke lima meja seterusnya bekalkan kepada semua peniaga ayam di situ,” katanya.

​Walaupun semakin maju, Haji Jaffri mengakui pernah meninggalkan seketika perniagaan itu untuk bekerja makan gaji di sebuah syarikat multinasional di Kuala Lumpur namun cuma bertahan sehari apabila menyedari minatnya hanya dalam dunia perniagaan.

​Demi untuk mengembangkan bisnes tersebut, Haji Jaffri memberanikan diri membuka ladang ternakan pertamanya di Binjal, Napoh pada 1995 dengan kapasiti 20,000 ekor.

​“Tanah itu saya sewa… itu pun ada cabaran apabila daripada 20,000 ekor anak ayam yang saya ternak hamper 80 peratus mati kerana penyakit hawar. Tetapi kegagalan itu tetap memberi pengajaran kepada saya untuk berhati-hati,” katanya.

​Ceritanya lagi, selang dua tahun selepas itu beliau membesarkan ladang tersebut dengan menyewa tanah bersebelahan sekali gus meningkatkan kapasiti kepada 50,000 ekor ayam setiap kitaran.

​Pelbagai masalah daripada pemilik tuan tanah yang disewanya di kawasan itu juga tidak mematahkan semangat Haji Jaffri apabila ia memberi hala tuju baharu kepadanya untuk membeli tanah dan membuka ladang baharu sebagai langkah mengembang perniagaannya itu.

​“Di ladang tanah yang kita sewa itu kita hadapi banyak masalah termasuk orang yang diupah untuk ternak ayam itu semakin hari tidak dapat bagi komitmen kepada kita… dari situ salah faham terjadi walaupun buat kontrak lima tambah lima tahun tapi bila tak ada persefahaman dengan tuan tanah akhirnya ternak ayam ini mula kerugian sebab ayam tak besar… ayam mati banyak. Kita ambil langkah pindahkan reban ke tapak tetap tapi bukan langkah mudah akhirnya kita terpaksa bayar pampasan kepada tuan tanah,” jelas penerima Anugerah Usahawan Cemerlang Agrobank 2018 ini.

​Serik menyewa tanah selain dihadapkan dengan karenah tuan tanah, Haji Jaffri akhirnya membeli sebidang tanah dengan harga RM80,000 di Kampung Lampam, Pendang pada 1998 dan memindahkan ladang di Napoh ke kawasan itu. Langkah Ayam Bismi tidak terhenti di situ.

​Sehingga kini, dengan visi Peneraju Solusi Ayam Halal Untuk Ummah Di Malaysia, Bismi Empire mempunyai 18 ladang bersepadu di seluruh Kedah dengan kapasiti daripada 20,000 hingga 235,000 ekor setiap kitaran malah enam daripadanya ditukarkan kepada ladang tertutup.

​Bukan itu sahaja untuk memastikan kualiti ayam yang dipasarkan pada tahap terbaik dan suci, syarikat berkenaan turut membuka makmalnya sendiri dengan pelaburan lebih RM250,000 demi memastikan proses penjagaan pemakanan ayam ternakan bebas daripada penyakit dan sisa khinzir.

​Bismi Empire Sdn. Bhd. kini memiliki empat anak syarikat di bawah seliaannya iaitu Bismi Cergas Sdn. Bhd., Ayam Bismi Sdn. Bhd., Ayam Bismi Food Sdn. Bhd. dan Naka Biolife Sdn. Bhd. Bismi Cergas Sdn. Bhd. menjalankan aktiviti menternak ayam, manakala Ayam Bismi Sdn. Bhd. menjadi ejen pemasar, yang menjalankan aktiviti memproses dan memasar ayam.

Scroll to Top