‘Lady boss’ rindu tetamu RMP

SEJAK mula beroperasi pada 6 Julai tahun lepas, Rumah Makan Percuma (RMP) di Jalan Kangkong Simpang Empat Alor Setar menjadi tumpuan ratusan penduduk setempat terutama dalam kalangan asnaf, miskin dan mualaf.

​Gara-gara peningkatan kes Covid-19 termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan RMP terpaksa ditutup operasi sementara sejak 25 Mei lepas sekali gus mengundang rasa gundah gulana di hati pencetus ideanya, Hajah Mazlina Kamarudin.

​Bagi Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn. Bhd. ini, beliau tersentuh dengan kisah hidup masyarakat yang terjejas akibat Covid-19 dan mempercayai RMP merupakan carq terbaik untuk membantu mereka.

​“Kalau ada RMP kita dapat bantu orang yang susah ini. Malang sekali kita terpaksa menutup sementara operasi RMP bagi mengekang penularan pandemik ini tetapi pada masa yang sama memang hati saya terkilan kerana tidak dapat bantu mereka dengan cara ini.

​“RMP mendapat sambutan hebat sebelum ini dan di RMP kita bersua dengan golongan ini sekali gus mendalami keperitan mereka. Banyak yang terkesan dengan Covid-19 jika kita mempunyai peluang untuk membantu, kita bantulah dengan apa cara pun,” katanya yang terkesan dengan kisah seorang pelanggan Ayam Bismi yang membeli hati RM1 sebelum ini.

​Menurut Hajah Mazlina, pihaknya berharap PKP penuh (lockdown) akan segera berakhir bagi membolehkan RMP beroperasi semula membantu orang susah apatah lagi pandemik ini masih belum reda.​RMP yang beroperasi di premis kedai makan berdekatan Pusat Jualan Utama dan Kilang Memproses Ayam Bismi itu diinspirasi oleh Hajah Mazlina dan suami, Haji Jaffri Ahmad yang juga Pengasas Ayam Bismi sebagai rasa prihatin kepada masyarakat setempat yang terjejas akibat pandemik tahun lepas.

Scroll to Top