SETELAH mempunyai makmal uji kaji sendiri untuk memastikan dedak yang menjadi makanan ternakan bebas sisa khinzir, Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) mengorak langkah dengan menghasilkan makanan ayam sendiri.
Menggunakan jenama Amaize iaitu hasil gabungan perkataan amazing (menakjubkan) dan maize (jagung), dedak keluaran Ayam Bismi mempunyai formula khusus untuk tumbesaran ternakan yang sihat dan paling penting memberi jaminan bebas daripada sisa bahan terlarang itu.
Menurut Pengarah Urusan Ayam Bismi, Hajah Mazlina Kamarudin, penghasilan dedak itu juga salah satu usaha syarikat berkenaan untuk mengurangkan kos operasi ternakan yang meningkat terutama dengan kenaikan harga makanan ayam.
“Dedak keluaran Ayam Bismi ini menggunakan formula sendiri. Dari dahulu kita memang menguji dedak yang dibeli supaya bebas daripada bahan sisa khinzir kerana kita mempunyai makmal sendiri.
“Itu kerana makmal kita pernah temui sisa dedak yang diuji tersebut dan bertitik tolak daripada itu kita sentiasa uji dedak kita. Akhirnya, kita bertanya kenapa tidak menghasilkan dedak sendiri jadi kita ambil langkah keluarkan dedak Amaize ini,” katanya.
Menjelaskan lanjut, tujuan penghasilan dedak itu juga untuk memastikan tumbesaran ternakan berjalan lancar dan sihat tanpa penggunaan ubat-ubatan.
“Tujuannya juga tak lain tak bukan, kerana dedak baik akan jamim ayam sihat, ayam sihat lebih selamat dimakan kerana tak perlu guna ubatan. Ada beberapa formula Ayam Bismi hasilkan untuk dedak ini mengikut keadaan ayam dan musim.
“Formula dedak ini juga menekankan kepada pertambahan nutrien untuk tumbesaran ayam yang sihat dan mengelakkan penggunaan ubat-ubatan. Bahan utama dedak ini juga merupakan jagung yang berkualiti tinggi,” katanya.
Hajah Mazlina juga menaruh keyakinan bahawa penghasilan dedak sendiri itu mampu mengurangkan kos operasi sekaligus memastikan harga ayam stabil dari semasa ke semasa.
“Bila buat dedak Ayam Bismi dapat kurangkan kos dan kurangkan harga ayam. Ayam Bismi mahu mantapkan pasarannya di seluruh negara dan mungkin satu hari nanti kita boleh pasarkan produk kita ke luar negara pula.
“Namun lebih penting daripada produk dedak ini, Ayam Bismi berharap keyakinan anggota masyarakat terhadap ternakan bertambah dan tanpa was was kerana kita hasilkan dedak terbaik bebas daripada sisa khinzir.
“Ayam Bismi juga berharap langkah ini akan menjadi inspirasi atau contoh kepada penternak lain supaya menghasilkan dedak sendiri demi mengurangkan kos operasi. Apabila dapat kurangkan kos, kurangkan harga ayam kita dapat beri pilihan kepada rakyat untuk berjimat cermat,” harapnya.
Jelas beliau lagi, dedak keluaran Ayam Bismi itu kini dihasilkan untuk kegunaan ternakan sendiri namun syarikat ini juga bercadang untuk menambah kapasiti pengeluaran dari semasa ke semasa.
“Pasaran untuk masa sekarang untuk Ayam Bismi sahaja di masa hadapan kita berfikir juga untuk jual dedak ini kepada penternak lain. Sekarang Ayam Bismi mengeluarkan kira-kira 1,250 tan metrik dedak setiap bulan dan kita akan tambah dari semasa ke semasa,” jelasnya.
#dedakayam #halal #ayambismi