Nur Asmarani berjaya jual ayam sebanyak RM8.7 juta

KALAU tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Demikian kegigihan juru wang Ayam Bismi bernama Nur Asmarani, 29, yang walaupun secara sambilan menjual ayam namun berjaya memperoleh pendapatan tambahan sehingga RM7,000 sebulan.

Setiap hari Nur Asmarani berjaya menjual sehingga 1,500 ekor ayam dan lebih menakjubkan sepanjang tahun lepas wanita ini mencatatkan jualan sehingga RM8.7 juta dengan anggaran setengah juta ayam.

Perkara itu sekaligus menjulangnya sebagai penerima Anugerah Gold Award Top Sales Performer Ayam Bismi 2023 pada Majlis Penyampaian Anugerah Halal Fighter Ayam Bismi di Rumah Makan Percuma baru-baru ini.

Ketika ditanya apa rahsianya? Nur Asmarani memberitahu, memberi perkhidmatan terbaik kepada pelangannya sehingga ke tahap maksimum.

“Melayani pelanggan dengan maksimum, mendengar apa masalah dia, apa jenis ayam dia nak, paling penting memudahkan urusan belian pelanggan dan jangan abaikan pelanggan.

“Kena rajin angkat telefon pelanggan bila dia telefon iaitu kena dalam mod siap sedia 24 jam. Saya sendiri tak pernah percaya dapat buat jualan sebanyak itu, Alhamdulillah,” katanya yang bekerja di syarikat ini sejak 2013 sebagai juru wang.

Pun begitu, katanya semua yang dikecapi itu bukan mudah tatkala dia turut berdepan dengan pelbagai karenah pelanggan namun tetap sabar mendepani kerana memahami demikiannya dunia perniagaan.

“Bila saya mula buat jualan ayam pada 2015 dulu, saya mampu dapat RM300 saja jual ayam sekarang purata jualan saya RM7,000 selain duit gaji saya sebagai juruwang Ayam Bismi.

“Saya hampir putus asa dulu dan pernah merasa rendah diri bila kawan-kawan dapat buat jualan banyak namun keluarga, rakan-rakan saya terutama kepada bos saya, Haji Jaffri dan Hajah Mazlina banyak beri dorongan. Saya terhutang kepada mereka,” jelasnya.

Wanita ini juga melahirkan kesyukuran kerana rezeki yang diperoleh daripada Ayam Bismi itu juga membolehkan mereka sekeluarga menabung bagi masa depan termasuk membina rumah sendiri.

“Salah satu sebab saya berusaha keras adalah untuk merubah nasib keluarga saya. Saya berasal dari keluarga susah dan belajar pun tidak tinggi. Perkara ini juga menjadi sumber kekuatan saya untuk membantu diri sendiri dan keluarga saya.

“Saya tidak lupa diri kerana wang yang saya peroleh itu selain disimpan, saya juga bersedekah kepada yang memerlukan sebagai tanda syukur,” ujarnya.

Katanya, diangkat sebagai kini menjadi pengalaman manis untuk dia dan suami, Muhammad Iqbal, 29, apabila dia meraih pelbagai insentif termasuk pakej percutian ke 9 hari ke Yogyakarta, Bandung dan Jakarta serta wang tunai RM8,700.

Ditanya tentang harapannya kata Nur Asmarani, dia mengimpikan untuk terus berjuang bersama Ayam Bismi.

“Allah hantar orang baik-baik ke dalam hidup saya, menuntun saya masuk dalam Ayam Bismi…dipertemukan dengan Haji Jaffri dan Hajah Mazlina. Alhamdulillah.

“Ayam Bismi ini ibarat keluarga saya juga dan saya berharap untuk terus berjuang di sini sampai bila-bila,” katanya.

Scroll to Top