ALOR SETAR: Ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi, seperti juga stokis Ayam Bismi di Bangi, Selangor, Syed Zainal Syed Ibrahim, 41, yang memilih berkecimpung dalam bidang perniagaan seperti bapanya, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader, 68, yang juga Presiden Kimma.
Walaupun memegang jawatan di sektor kerajaan sebelum ini namun Syed Zainal memilih untuk menerajui perniagaan keluarga sejak 2016 yang memiliki premis menjual produk halal, Yakin Halal Mart.
Katanya, walaupun permulaan bisnes itu agak mencabar namun membuahkan hasil terutama dengan kesedaran masyarakat tentang kepentingan makanan halal.
“Kami buka Yakin Halal Mart di Bangi pada 2016 dan apabila semakin maju kami buka cawangan kedua di Seremban, Negeri Sembilan pada 2018.
“Yakin Mart memang fokus 100 peratus kepada produk halal Muslim. Itu juga alasan saya membabitkan diri dalam bidang perniagaan ini mengambilalih daripada bapa saya.
“Apabila bapa nak berehat daripada berniaga dia nak lepaskan ke anak-anak saja,” katanya ketika ditemui pada program Fun Tour baru-baru ini.
Sebagai peniaga yang menerajui peruncitan halal toyyiban, katanya, tidak lengkap sekiranya mereka tidak memasarkan produk daripada Ayam Bismi.
“Kami sudah lama mengintai ayam segar Ayam Bismi namun ini dari Kedah tentulah susah nak bawa masuk ke Bangi.
“Tetapi apabila tahu Ayam Bismi juga mempunyai produk segar beku (FFC), kami cuba bawa masuk ke premis dan Alhamdulillah, sambutan amat mengalakkan. Banyak pelanggan cakap produk FFC Ayam Bismi ini lain daripada lain berbeza dengan produk ayam sejuk beku lain. Sedap, kata mereka,” katanya.
Bercakap tentang perancangan masa depan, kata Syed Zainal, dia menaruh harapan untuk mengembangkan bisnes tersebut demi memajukan industri halal.
“Sebagai orang Islam kita kena utamakan produk Muslim dahulu berbanding produk lain. Jika kita tak bantu peniaga Muslim, siapa lagi,” katanya.
Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) bermula dengan sebagai syarikat memproses dan menjual ayam kecil-kecilan pada 1988 yang kemudian berkembang dalam segmen penternakan yang kini mempunyai 18 ladang bersepadu dengan kapasiti ternakan 2 juta ekor ayam.
Ayam Bismi yang bergelar syarikat milikan bumiputera sepenuhnya kemudian mengorak langkah memasarkan hasil ternakan secara borong dan runcit melalui penubuhan empat anak syarikatnya, Bismi Cergas Sdn. Bhd. yang menjalankan aktiviti penternakan, Ayam Bismi Sdn. Bhd. (aktiviti pemprosesan dan pemasaran), Naka Biolife Sdn. Bhd. (mengendali makmal diagnosis) dan Ayam Bismi Food Sdn. Bhd. (pemprosesan produk hiliran).
Pada masa ini, Ayam Bismi berkembang pesat dengan mencari ejen dan stokis untuk memasarkan Ayam Segar Beku (FFC) yang dipotong, dicuci dan dibekukan segera serta produk hiliran seperti Ayam Popcorn, Ayam Perap, Ayam Kisar, Rempah Ayam Goreng Tandoori, Bebola Ayam (Bisball).
Terdapat 600 stokis-ejen di seluruh Semenanjung.