ALOR SETAR: Perasaan wanita ini barangkali berbaur antara gembira dan sayu tatkala menyambut motosikal baharu di hadapan rumahnya semalam.
Gembira, kerana merasa cukup bertuah memenangi motosikal tersebut di sebalik ribuan pelanggan yang menyertai Cabutan Bertuah Ayam Bismi ini, namun tetap bersulam sayu kerana ada rindu di sebalik itu.
Lantas, bagaikan tidak tertahan lagi gugur jua air mata Siti Aishah Jusoh, 52, ibu kepada lima anak ini ketika bercerita kenapa motosikal itu jadi begitu bermakna untuknya kini.
“Motosikal ini mengingatkan saya kepada arwah adik yang meninggal dunia Selasa minggu lepas kerana kanser. Bila saya menang motosikal ini hari tu, dia orang pertama yang saya sampaikan berita gembira ini. Arwah turut gembira.
“Memang niat bila dapat motosikal ini saya nak bagi dia bawa dulu. Tetapi tak sempat,” kata Siti Aishah dalam nada sebak.
Siti Aishah memenangi motosikal tersebut dalam Majlis Cabutan Bertuah Ayam Bismi pada bulan lepas.
Adiknya, Mat Isa, 51, kata Siti Aishah disahkan menghidap kanser usus tahap empat sejak dua bulan lalu namun kesihatan arwah semakin merosot pada minggu lepas.
“Kematiannya tiba-tiba namun kami sekeluarga redha,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Samudera semalam.
Menurut Siti Aishah, seorang tukang jahit, dia menghargai hadiah cabutan bertuah tersebut yang disifatkan di luar jangkaannya.
“Seingat saya hanya dua kali sahaja saya beli lebih RM20 dan dapat kupon. Sekali beli tu sebab nak masak untuk Hari Raya Puasa tahun lepas di Mergong. Rasanya kupon yang saya isi dan hantar di situ saya dapat motosikal ini.
“Syukur dan gembira kerana dapat motosikal memang tak jangka pun. Saya akan guna motosikal ini untuk aktiviti harian saya,” katanya.
Bercerita tentang hari berkenaan, kata Siti Aishah, dia berada di bengkel untuk membaiki keretanya sebelum menerima panggilan dari staf Ayam Bismi.
“Dok belek-belek telefon masa tu dan tiba-tiba masuk panggilan nombor tak dikenali terfikir juga nak jawab ka tidak sebab takut scammer.
“Rupanya, dari Ayam Bismi. Alhamdulillah. Sudah lama saya beli di Ayam Bismi sebab bagi saya ayam di situ lebih segar dan simpan lama pun tak berbau,” katanya.
Siti Aishah adalah salah seorang daripada 10 pemenang hadiah motosikal berkenaan dalam Majlis Cabutan Bertuah Ayam Bismi 2021 yang menyediakan hadiah menarik bernilai lebih RM100,000.
Program berkenaan adalah salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk menghargai dan meraikan pelanggan syarikat milikan penuh bumiputera itu menyediakan 20 televisyen plasma berukuran 50 inci dan 21 motosikal.