Kesetiaan 30 tahun Pakcik Ismail berbalas  

PENDANG: “Dulu Ayam Bismi kecil saja. Kilang proses pun kecil tak macam sekarang kilang pun canggih.”

Itu kata Ismail Bakar, 63, dari Kampung Bukit Raya Dalam di sini yang sejak 30 tahun lalu tanpa henti menjadi pelanggan setia Ayam Bismi.

Walaupun rumahnya terletak hampir 20 kilometer dari Pusat Jualan Utama (PJU) Ayam Bismi di Simpang Empat Kangkong dekat Alor Setar namun di premis itu juga tempatnya memperoleh ayam segar hampir setiap hari ketika bekerja sebagai pemandu lori dahulu.

“Dulu pukul 5 pagi sudah boleh beli ayam di sini sebelum pergi kerja memang pakcik akan datang sini beli ayam dulu,” imbasnya.

Sehingga ke hari ini, PJU itu juga menjadi pilihan dan dia tidak kisah walaupun terpaksa menunggang motosikal lamanya itu.

Barangkali, kesetiaan Ismail berbalas apabila memperoleh sebuah motosikal baharu dalam Cabutan Bertuah Ayam Bismi 2021 tahun lepas.

“Memang rezeki Allah nak bagi. Tengok kupon-kupon dalam tong yang banyak-banyak tu memang rasa tak ada peluang dah hari tu,” katanya ketika menerima motosikal tersebut yang diserahkan oleh team Jabatan Pemasaran di rumahnya semalam.

Bercerita tentang hari cabutan tersebut itu sebelum namanya diumumkan sebagai salah seorang daripada 10 pemenang hadiah motosikal, kata Ismail, dia dan isteri, Solehah Abdul Ghani, 57, turut menonton ‘live’ dari laman Facebook Ayam Bismi Segar Halal Suci.

“Memang tak sangka ingatkan sapa yang telefon… ingatkan scammer. Nasib baik jawab panggilan tu. Terus pakcik pergi PJU.

“Dari dulu memang dok harap dapat apa-apa hadiah kalau dapat periuk nasi pun tak apa dah, tapi tak sangka pula dapat motosikal,” ceritanya.

Katanya, motosikal baharu itu akan digunakan oleh mereka sekeluarga memandangkan yang lama sudah hampir uzur.

Ketika ditanya kenapa jenama Ayam Bismi menjadi pilihannya sekeluarga sejak tiga dekad lalu kata Ismail, itu kerana mereka menyakini status halal dan toyyibannya.

“Ayam Bismi kita tahu sapa yang sembelih. Mereka ternak, proses dan jual sendiri. Harga pun  berpatutan.

“Kalau beli ayam lain kita tak tau ayam itu dari mana, siapa yang sembelih,” katanya.

Pakcik Ismail adalah salah seorang daripada 10 pemenang hadiah motosikal berkenaan dalam Majlis Cabutan Bertuah Ayam Bismi 2021 yang menyediakan hadiah menarik bernilai lebih RM100,000.

Program berkenaan adalah salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk menghargai dan meraikan pelanggan syarikat milikan penuh bumiputera  itu menyediakan 20 televisyen plasma berukuran 50 inci dan 21 motosikal.

Peringkat pertama program yang berlangsung pada  11 Disember tahun lepas, menyaksikan 10 motosikal dan 10 televisyen dibawa pulang pelanggan bertuah.

Bagi menyertai cabutan bertuah ini pelanggan hanya perlu membeli produk Ayam Bismi bernilai RM20 sebelum layak menerima satu kupon penyertaan.

Ia terbuka kepada semua pelanggan Ayam Bismi di semua pusat jualannya.

Pelanggan hanya perlu mengisi maklumat peribadi diri dan memasukkan kupon tersebut dalam kotak disediakan di Pusat Jualan Utama Simpang Empat dan 15 outlet di Kedah serta Perlis.

Cabutan bertuah bagi peringkat kedua akan diadakan tidak lama lagi.

Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) bermula dengan sebagai syarikat memproses dan menjual ayam kecil-kecilan pada 1988, kemudian berkembang dalam segmen penternakan yang kini mempunyai 18 ladang bersepadu dengan kapasiti ternakan 2 juta ekor ayam dan pengeluaran sejuta ekor setiap bulan.

Ayam Bismi yang bergelar syarikat milikan bumiputera sepenuhnya kemudian mengorak langkah memasarkan hasil ternakan secara borong dan runcit melalui penubuhan empat anak syarikatnya, Bismi Cergas Sdn. Bhd. yang menjalankan aktiviti penternakan, Ayam  Bismi Sdn. Bhd. (aktiviti pemprosesan dan pemasaran), Naka Biolife Sdn. Bhd. (mengendali makmal diagnosis) dan Ayam Bismi Food Sdn. Bhd. (pemprosesan produk hiliran).

Pada masa ini, Ayam Bismi berkembang pesat dengan mencari ejen dan stokis  di seluruh Malaysia untuk memasarkan Ayam Segar Beku (FFC) yang dipotong, dicuci dan dibekukan segera serta produk hiliran seperti Ayam Popcorn, Ayam Perap, Ayam Kisar, Rempah Ayam Goreng Tandoori, Bebola Ayam (Bisball) dan Tempura Chicken Nugget.

Terdapat 600 stokis dan ejen Ayam Bismi di seluruh Semenanjung Malaysia.

Scroll to Top