Penulis : Jamliah Hj Abdullah 9 Jun 2021
Mantan Wartawan Eksekutif Utusan Melayu (M) Bhd.
ALOR SETAR: Bertambah seri suasana di Rumah Makan Percuma (RMP) hari ini.
Kenapa tidak? Buat pertama kalinya sepasang pengantin baharu disandingkan di hadapan pengunjung RMP sejak ia beroperasi pada Julai tahun lepas.
Pengantinnya lain tak bukan puteri Pengurus Besar Ayam Bismi, Azli Saat, Nurfarhanim bersama suami, Muhammad Luqman Yusof yang bersanding kali kedua di hadapan jemputan RMP.
Mengenakan busana sedondon warna hijau muda, kehadiran pengantin baharu itu menjadikan suasana RMP iaitu tempat tumpuan masyarakat setempat menjamu selera sebelum ini bertambah meriah.
Apatah lagi, RMP turut dihiasi indah seperti sebuah kenduri kahwin yang lengkap dengan pelamin, meja makan berhidang pengantin dan bunga manggar. Kesemua persiapan itu disempurnakan oleh team pemasaran Ayam Bismi dan RMP sendiri.
Menu pula hasil sentuhan Duta Ayam Bismi, Chef Din dan Chef Zura dari RMP dengan menu istimewa nasi beriani kambing, acar buah dan ayam masak madu serta juadah sampingan seperti laksa dan aiskrim.
Menurut Azli, keluarganya mengadakan kenduri di RMP selain meraikan perkahwinan puteri keduanya itu juga untuk memberi peluang kepada penduduk setempat terutama pengunjung RMP merasai suasana makan kenduri.
“Sabtu lepas, kami adakan resepsi di hotel namun tidak ramai yang boleh dijemput cuma 250 sahaja kerana kekangan SOP jadi hari ini saya dapat jemput lebih ramai lagi termasuk semua kakitangan Ayam Bismi dan pengunjung RMP.
“Saya berbesar hati kerana pihak RMP mengaturkan semua persiapan kenduri ini. Sudah lama kita tidak merasai suasana kenduri seperti ini,” katanya.
Dalam pada itu menurut Pengasas RMP yang juga Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi), Hajah Mazlina Kamarudin, bukan sahaja untuk kakitangan Ayam Bismi pihaknya turut membuka peluang kepada orang ramai yang ingin mengadakan kenduri kahwin di RMP.
“Kita membuka peluang untuk orang mengadakan kenduri di RMP. Sesiapa yang berminat itu berhubunglah dengan kita kerana Ayam Bismi merasakan zaman pandemik ini ramai terjejas… susah dan hilang pendapatan tetapi ingin juga buat kenduri kahwin.
“Mereka boleh berbuat demikian melalui Rumah Makan Percuma dan macam kita pun boleh tambah kapasiti tempat duduk dan sewa khemah sebagainya. Kita buka peluang untuk orang berminat dan bukan hanya kenduri perkahwinan kalau ada orang nak buat apa kenduri pun kita alu-alukan,” katanya.
RMP yang beroperasi di premis kedai makan berdekatan Pusat Jualan Utama dan Kilang Memproses Ayam Bismi itu diinspirasi oleh Hajah Mazlina dan suami, Haji Jaffri Ahmad yang juga Pengasas Ayam Bismi sebagai rasa prihatin kepada masyarakat setempat terjejas akibat pandemik tahun lepas.