Tingkatkan kemahiran untuk perkasa perniagaan

ALOR SETAR: Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) menyanjung tinggi usaha kerajaan memperkasakan anggota masyarakat terutama kaum wanita melalui penubuhan Kolej Komuniti (KK) yang menyediakan pelbagai fasiliti untuk meningkatkan kemahiran masing-masing.

Pengarah Urusannya, Hajah Mazlina Kamarudin berkata, pelbagai kursus yang ditawarkan di kolej kemahiran berkenaan sangat berguna seperti berkaitan masakan, jahitan, dandanan dan solekan yang boleh diduduki wanita tanpa mengira usia sebagai langkah awal sebelum memulakan perniagaan.

“Saya menyanjung tinggi usaha pihak kerajaan memberikan peluang kepada anak-anak muda untuk belajar termasuk anak lepasan SPM yang tidak cemerlang akademiknya boleh tingkatkan kemahiran di sini. Selain itu, ada juga pembelajaran sepanjang hayat di sini untuk orang dewasa.

“Kita kena berusaha mengambil iktibar daripada pandemik Covid-19 ini bila banyak ekonomi keluarga terjejas dan kita harus cari peluang untuk memahirkan diri.

“Ada wanita gemar memasak tetapi kurang keyakinan untuk menjual masakannya. Pergi ke kolej komuniti yang berdekatan dan tengok apa kursus yang ada. Kolej ini bukan hanya untuk budak-budak saja tetapi untuk orang dewasa pun ada. Jangan rasa susah untuk belajar dan yuran yang dikenakan juga murah,” katanya yang berpeluang menjadi panel juri Anugerah Keusahawanan: Institusi (Kolej Komuniti Terbaik) baru-baru ini.

Tiga kolej komuniti terpilih bagi kategori berkenaan iaitu KK Hulu Langat, Selangor, KK Pasir Gudang Johor dan KK Sungai Petani Kedah.

Turut mengiringi, Presiden dan Pengasas Ayam Bismi, Haji Jaffri Ahmad yang berkongsi idea dan pengalaman dalam bidang keusahawanan yang diterokai 33 tahun apabila berjaya sebagai sebuah syarikat penternakan yang kemudian mengorak langkah memasarkan hasil ternakan secara borong dan runcit.

Menurut Hajah Mazlina, semua pihak harus bersama-sama membantu kerajaan membangunkan semula ekonomi negara ini terutama sekali selepas dilanda Covid-19.

“Jangan cari alasan, saya pun sebenarnya dilantik sebagai juri ini merasakan ia satu anugerah kerana dalam fikiran saya banyak sebenarnya kemudahan yang kerajaan sediakan di kolej seperti ini untuk semua.

“Kalau kita malas dan terlampau mengharapkan kerajaan untuk dapatkan bantuan sehingga kerajaan terus berhutang beban ini akan menghantui anak cucu kita kelak. Kita tidak mahu jadi negara yang muflis,” katanya.

Katanya, peniagaan yang diusahakan di rumah baik secara terus atau atas talian mampu bertahan kerana tidak memerlukan modal yang banyak termasuk menyediakan premis.

“Anda pergi ke kolej ini bayar yuran RM20 atau RM30 untuk satu jenis menu masakan. Mahirkan diri dengan masakan ini dan jadikan ia anjakan paradigma dalam kehidupan masing-masing,” katanya.

Scroll to Top