KUALA NERANG: Dialah ‘ibu’, dialah juga ‘bapa’ untuk empat adik-beradik lain apabila ibu kesayangan yang juga merupakan ibu tunggal koma setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Ramadan lepas.
Seakan bertimpa-timpa ujian untuk remaja ini apabila ibu, Norhashimah Abdul Majid, 43, yang diharapkan bangkit semula daripada koma itu meninggalkan mereka untuk selama-lamanya hari ini setelah hampir dua bulan mendapat rawatan di ICU Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar.
Nurfarra Asyikin Norazmi, 20, dari Kampung Pasir Puteh Tualak memberitahu, dia dan adik-beradik reda dengan takdir tersebut walaupun mereka kini sudah hilang tempat bergantung.
“Memang sedih tetapi saya harus kuat untuk adik-adik. Lagipun arwah mama selalu pesan jika apa-apa jadi kepadanya, saya harus pikul tanggungjawab jaga adik-adik dan jangan biarkan kami berpisah dalam apa juga keadaan,” katanya di sini hari ini.
Katanya, dia berjanji untuk menunaikan pesanan tersebut menjaga adik-adiknya, Mohd. Hafiq Ridzuan, 18, Nur Anis Amira, 15, Nuraina Amalyna, 12, dan Nurshafinas Fareha, 4, termasuk tiga daripada mereka yang masih bersekolah.
Mengimbas kembali tragedi yang meragut nyawa ibu kesayangan mereka itu, cerita Nurfarra, ia berlaku ketika ibunya mahu pulang rumah dari tempat kerja di pekan Kuala Nerang.
“Mama ambil upah buat kuih raya dan waktu itu dia nak balik rumah naik motosikal. Orang cakap mama terpelusuk bawa kereta dan tayar kereta dia langgar badan mama. Saya masih tak dapat bayangkan kesakitan mama. Selepas itu mama terus koma.
“Apa yang kami ralat adalah orang yang langgar mama itu tak datang pun minta maaf kat kami lima beradik sampailah mama dah tak ada. Dia pergi jumpa tok saja,” katanya dengan nada sedih.
Nurfarra memberitahu, dia yang bekerja sebagai sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Kuala Nerang juga terpaksa menumpang di rumah bapanya saudara mereka di kampung tersebut kerana tidak mampu menyewa di rumah lain.
“Sejak setahun lepas apabila mama bawa kami dari Pulau Pinang ke sini kami memang menumpang di rumah ini. Tak mampu nak sewa rumah lain.
“Sekarang lagilah buntu fikir nak cari rumah sewa lain tetapi saya memang nak bawa adik-adik keluar dari rumah ini apatah lagi apabila mama dah tak ada,” katanya.
Tambahnya, mereka juga tidak berhasrat untuk berpindah keluar dari kampung tersebut kerana adik-adiknya sudah selesa bersekolah di kawasan itu.
Memberitahu tentang rutinya, kata Nurfarra, dia akan menguruskan adik-beradiknya dahulu sebelum ke tempat kerja termasuk masak untuk mereka.
Simpati dengan nasib adik-beradik ini, Bismi Empire Sdn. Bhd. tampil menghulurkan bantuan berupa makanan untuk keluarga tersebut.
Menurut Pengarah Urusannya, Hajah Mazlina Kamarudin, beliau turut meminta wakil syarikat menziarahi lima beradik berkenaan selain untuk menghulurkan bantuan juga mengenalpasti cara terbaik menjaga kebajikan mereka yang sudah hilang tempat bergantung.
Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan kepada remaja berkenaan berikut adalah nombor akaun Nurfarra,
02113 – 29 -00012661 -7 – BSN
(Nurfarra Asyikin Norazmi) 019-900 4979