10 tahun bertatih di Pasar Tani sebelum miliki 18 ladang ayam

KULIM: Tiada kejayaan dikecapi dengan mudah termasuk dalam dunia perniagaan. Namun resipi utama ialah kesungguhan, kesabaran dan konsistensi yang berterusan.
Itu juga formula kejayaan Presiden dan Pengasas Bismi Empire Sdn Bhd (Ayam Bismi), Haji Jaffri Ahmad, 57, yang memulakan perniagaan dalam industri ayam sejak 34 tahun lepas.
Dari meja Pasar Tani Alor Setar sehingga kini beliau berjaya memiliki 18 ladang ternakan ayam dengan kapasiti dua juta ekor.
Lantas sebagai penerima Anugerah Pemasar Tani Jaya 2022 – FAMA sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kedah yang berlangsung di Kulim hari ini, ia menjadi sesuatu yang sangat berharga dan menginsprasikan.
Beliau menerima replika cek bernilai RM4,000 dan sijil kemenangan sebagai pemasar Tani Jaya (FAMA) yang disampaikan oleh YB Azman B. Nasrudin, ahli majlis mesyuarat kerajaan Negeri Kedah.
Menurut Haji Jaffri, beliau memulakan perniagaan di tapak awal Pasar Tani Alor Setar sekitar 1988 dalam usaha untuk mengembangkan bisnes ayamnya dari Simpang Empat.
“Waktu itu saya berniaga kecil-kecilan di Simpang Empat, sembelih dan jual sikit-sikit kepada orang kampung. Jadi saya tercari-cari bagaimana nak dapatkan tempat tetap. Tapak awal Pasar Tani ini adalah di sebelah Bangunan KWSP itu.
“Mula-mula buka satu meja, dapatlah jual 40 hingga 50 ekor sehari. Selepas itu saya bekal ayam dekat peniaga lain dan kesudahannya jadi pemborong kepada empat lima peniaga di situ,” katanya di sini hari ini.
Bercerita lanjut, kata Haji Jaffri, beliau mengambil masa sehingga 10 tahun menimba ilmu dan pengalaman malah mencari pasaran di Pasar Tani dan Pasar Simpang Empat sebelum memberanikan diri menternak sendiri ayam.
“Banyak yang bertanya, saya ada ‘market’ kenapa tak bela ayam sendiri… buka reban sendiri. Daripada situ saya beranikan diri, sewa tanah, bina reban dan ternak ayam. Reban pertama saya di Kampung Lampam Pendang pada 1998.
“Lepas satu ladang saya buka ladang lain sehingga ada 18 ladang sekarang termasuk tiga ladang ayam kontrak,” katanya.
Haji Jaffri, tidak menafikan bukan sendiri cabaran yang harus dihadapi olehnya dan isteri, Hajah Mazlina Kamarudin, 55, yang juga Pengarah Urusan Ayam Bismi untuk menjayakan perniagaan tersebut sehingga menjadi syarikat penternakan, penyembelihan dan pengedaran ayam utama di utara tanah air ketika ini.
“Apa yang penting dalam perniagaan adalah konsisten iaitu tekad untuk mengusahakan satu bidang perniagaan ini tidak melompat-lompat dari satu perniagaan ke satu jenis perniagaan lain. Dan jangan cepat sangat nak besarkan perniagaan, mulalah kecil-kecilan dan besarkan bila syarikat ada keuntungan.
“Perniagaan mana yang tidak ada dugaan dan cabaran, semua sama sahaja. Oleh sebab itu apabila saya memilih untuk berniaga ayam itu sajalah yang saya buat sejak 34 tahun lepas dari jual 50 ekor sehingga lebih sejuta ekor hari ini setiap bulan,” katanya.
Bismi Empire Sdn. Bhd. kini memiliki empat anak syarikat, Bismi Cergas Sdn. Bhd., Ayam Bismi Sdn. Bhd., Ayam Bismi Food Sdn. Bhd. dan Naka Biolife Sdn. Bhd.
Bismi Cergas Sdn. Bhd. menjalankan aktiviti menternak ayam, manakala Ayam Bismi Sdn. Bhd. menjadi ejen pemasar, yang menjalankan aktiviti memproses dan memasar ayam.
Syarikat berkenaan turut mempunyai kilang memproses ayam di Simpang Empat Alor Setar yang dilengkapi peralatan moden untuk melancarkan urusan pemprosesan ayam selain mempunyai sijil pengesahan Halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Kilang Ayam Bismi juga mempunyai Perakuan Mesti dari Kementerian Kesihatan Malaysia bahagian Kualiti Makanan, ini bermakna kilang berkenaan dikehendaki mematuhi prosedur amalan perkilangan baik dan bersih.
Dari segi jualan, Ayam Bismi mempunyai 16 outlet di Kedah dan Perlis serta lebih 600 ejen atau stokis di seluruh Negara untuk menjual pelbagai produknya termasuk ayam segar beku serta produk nilai tambah seperti popcorn ayam, ayam perap, bebola ayam, ayam kisar dan rempah ayam goreng tandoori.
Syarikat ini juga terkenal dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatannya termasuk menubuh Rumah Makan Percuma (RMP) yang menyediakan makan tengah hari percuma kepada masyarakat setempat dalam kalangan asnaf serta mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Scroll to Top