Kisah penuh inspirasi Pengurus Besar Ayam Bismi, pernah diisytihar OKU

PENGURUS Besar, Bismi Empire Sdn. Bhd., Azli Saat bukan sembarangan kerana individu yang sama pernah berjasa kepada syarikat multinasional Jepun, Panasonic Malaysia ketika mula beroperasi di Melaka.

​Bermula daripada hanya seorang penyelia sehingga diberi kepercayaan sebagai Pengurus Besar oleh syarikat tersebut, pengalaman selama 17 tahun itu kini cukup berharga di Ayam Bismi.

​“Ayam Bismi sempurna… cuma sekarang saya nak membantu meneruskan perjuangan halal toyyiban bersama-sama mereka.

​“Syarikat ini ada modul bisnes yang menyeluruh daripada menternak ayam, uji dedak ayam sehingga ke hasilkan produk tambah nilai seperti makanan sejuk beku. Pada saya, ini satu modul bisnes yang matang dan dirancang dengan baik. Pengawalan halal toyyiban Ayam Bismi pun amat baik, malah lebih dari kilang lain yang pernah saya lawati,” katanya.

​Perkara itu menjadi alasan utama beliau memilih untuk berbakti dengan syarikat ini sejak Oktober tahun lepas walaupun terpaksa berjauhan dengan anak dan isterinya di Melaka.

Bagi Azli, beliau ingin mempergunakan ilmu dan pengalamannya berkhidmat dengan syarikat Jepun itu untuk membantu meningkatkan lagi prestasi syarikat bumiputera seperti Ayam Bismi.

​“Dahulu selama 17 tahun, akhirnya saya dapat menjadikan ia satu kilang yang berkapasiti tinggi dan berjaya capai kilang pertama yang dapat pengiktirafan indeks Bangunan Hijau iaitu yang pertama di Malaysia ketika itu.

“Sampai satu masa bila sudah buat pelbagai benda untuk kilang Jepun… bantu mereka jimat berjuta-juta dan saya terfikir kalau duduk dekat kilang tempatan macam mana? Tentu boleh bantu mereka,” katanya.

​Pendirian yang sama membawa beliau terjun ke kilang penternakan ayam milik syarikat tempatan di Pahang sebelum membuat keputusan untuk bersara.

​Di sebalik itu beliau tidak ketinggalan diuji apabila jatuh sakit pada 2018 akibat serangan bakteria pada kaki kirinya sehingga disahkan doktor sebagai hilang upaya kekal.“Lepas bersara saya mula sakit kaki dan lutut terlantar selama enam bulan tak boleh bangun hanya boleh baring kerana kaki diserang sejenis bakteria jadi keras, kaku. Masa itu kita sedar bagaimana anak dan isteri membantu kita.

​“Doktor pun sudah isytihar saya jadi OKU kerana susah nak jalan balik,“ cerita ayah kepada tiga cahaya mata perempuan ini.Beliau bagaimanapun enggan mengaku kalah dengan takdir sebaliknya berusaha sedaya-upaya untuk sembuh dengan menanam azam untuk kembali menjadi seperti sediakala. Selebihnya berdoa pada Sang Pencipta dengan redha dan istiqamah.

​“Bila doktor cakap saya sudah jadi OKU, saya mulakan episod baharu. Saya usahakan latihan dan terapi dengan sendiri sampai berjalan semula. Ia bukan mudah tapi saya cabar diri sendiri.

​“Akhirnya saya berjaya tukar status OKU ini kembali kepada normal sehingga doktor yang mengisytiharkan saya sebagai OKU dulu bila jumpa balik amat terkejut,” katanya.Kini sebagai Pengurus Besar di Ayam Bismi, beliau berharap dapat membantu syarikat terus unggul dan berperanan penting dalam sektor penternakan, pemprosesan dan pengedaran ayam ini.

​“Nekad untuk datang sini sebab saya rasa kerja dulu dan sekarang banyak beza contoh di sini saya dapat sumbang kepada makanan halal toyyiban untuk orang Islam.

​“Sini saya nampak Ayam Bismi banyak kepada CSR, zakat, bina masjid. Saya juga mahu bantu orang setempat, “ jelasnya.

​Azli mengakui mengurus operasi syarikat dan kilang berkenaan memang agak mencabar ketika pandemik Covid-19 demi memastikan tidak berlaku sebarang penularan jangkitan di semua premis dan kilangnya.

​“Kita kena cari jalan agar SOP dipatuhi dengan kaedah yang bersesuaian. Semua kilang kita sanitasi tiga kali sehari agar bebas daripada virus ini kerana kita tidak boleh ambil risiko,” katanya.

​Sebelum bergelar Pengurus Besar, Azli pernah menjadi pemandu E-Hailing seketika selepas pulih daripada penyakitnya selain mengusahakan dua buah kedai dobi yang kini diurus oleh isteri kesayangan di Melaka.

Scroll to Top