Guru gerakkan infaq 2,200 Ayam CSR untuk orang susah

KECERIAAN penerima yang kesempitan hidup dan kegembiraan penderma yang dapat menghulurkan sumbangan untuk membantu golongan itu.

Dua perkara itu yang memberikan semangat kepada seorang guru, Intan Shafinaz Che Hasan, 43, menggerakkan program Keloi-keloi: Dana Ayam sejak awal bulan lepas.

Program yang dijayakan dengan kerjasama Ayam Bismi Sdn. Bhd. melalui program Ayam CSR ini berjaya menginfaq sebanyak 2,200 ekor ayam kepada keluarga miskin, mualaf, OKU dan pusat tahfiz sekitar Alor Setar, Pokok Sena, Jitra, Pendang, Sungai Petani dan Perlis hasil derma daripada orang ramai terutama rakan-rakan media sosialnya.

Menurut Intaz Shafinaz yang juga merupakan guru Sekolah Kebangsaan Alor Setar, program tersebut bermula apabila dia mengumpul derma untuk membantu murid sekolah itu daripada keluarga kurang berkemampuan dengan sedekah seekor ayam.

“PKPD berlanjutan meresahkan waris sekolah yang rata-rata buruh dan bergaji hari. Mereka golongan yang sangat terkesan.”

“Memang rancang nak sedekah ayam. Saya selalu tempah Ayam Bismi. Nak jadi cerita rancang nak infaq 75 untuk waris murid sahaja kemudian jadi 500 ekor jadi terpaksa berhubung dengan tokey Ayam Bismi, Hajah Mazlina Kamarudin yang popular itu untuk bantuan logistik.”

“Sedar tak sedar derma ayam ni sudah pergi merata tempat dan semakin banyak orang susah yang dapat manfaat, Alhamdulillah,” katanya.

Tambahnya, dia sama sekali tidak menyangka infaq berkenaan mendapat sambutan mengalakkan daripada kenalan dan orang ramai apabila berjaya mengumpul lebih RM20,450.

“Saya berterima kasih kepada penginfaq yang dermawan walaupun seekor ayam pasti membahagiakan satu keluarga,” katanya.

Jelas ibu anak tiga ini lagi, pihaknya memilih Ayam Bismi kerana mempercayai ia produk yang boleh digunakan tanpa was-was dan selamat dimakan.

“Teknik ternakan ladang ayam mereka moden dan patuh syariah. Beli Ayam Bismi kita sokong produk bumiputera. Inilah sumbangan kecil kita sebagai umat Islam nak makan kena cari yang halal. Saya berharap dapat meneruskan kerjasama ini pada masa akan datang,” katanya.

Ayam CSR merupakan salah satu usaha Ayam Bismi Sdn. Bhd. meneruskan tradisi menghulurkan sumbangan melalui khidmat sosial korporat (CSR), dengan pemberian ayam percuma kepada golongan memerlukan.

Ia sejajar dengan amalan yang dipuji dalam Islam seperti dalam Surah Al-Baqarah ayat 195, Allah SWT berfirman,

“Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri di dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.”

Scroll to Top