𝐏𝐞𝐧𝐲𝐞𝐦𝐛𝐞𝐥𝐢𝐡 𝐀𝐲𝐚𝐦 𝐁𝐢𝐬𝐦𝐢 𝐛𝐞𝐫𝐤𝐚𝐤𝐢 𝐩𝐚𝐥𝐬𝐮 𝐭𝐞𝐭𝐚𝐩 𝐠𝐢𝐠𝐢𝐡 𝐜𝐚𝐫𝐢 𝐫𝐞𝐳𝐞𝐤𝐢 𝐬𝐚𝐫𝐚 𝟕 𝐛𝐞𝐫𝐚𝐧𝐚𝐤

KUDRAT yang tinggal tidak seberapa tidak pernah dijadikan alasan untuk penyembelih di Kilang Memproses Ayam Bismi Sdn. Bhd. di Simpang Empat, Kangkong dekat Alor Setar, Anuar Rashid, 53, mengharap simpati orang apatah lagi di bahunya dia perlu menyara tujuh anggota keluarganya.

​Ayam Bismi menjadi tempat Anuar, 53, dari Kampung Sala, Yan meraih pendapatan sejak enam tahun lepas setelah gagal mendapat pekerjaan lain setelah kaki kanannya kudung akibat satu kemalangan jalan raya pada 1993.

​Bercerita tentang tragedi itu, kata Anuar, dia menumpang motosikal rakan kerjanya sebelum terlibat kemalangan dengan sebuah lori ketika dalam perjalanan pulang ke tempat kerja di sebuah kilang di Gurun selepas keluar makan tengah hari.

​“Kaki saya hancur pada paras paha digilis lori dan terpaksa dipotong. Sejak itu saya pakai kaki palsu dan langkah saya menjadi terhad,” katanya.

​Untuk meneruskan kehidupan dan menyara keluarga termasuk anak yang masih bersekolah, Anuar melakukan pelbagai pekerjaan seperti menjual ikan dan menjadi pengawal keselamatan.

​“Terakhir saya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pusat tahfiz di Yan namun terpaksa berhenti apabila tempat itu ada masalah kewangan. Selepas itu saya cuba minta kerja di banyak tempat tapi tak dapat. Mungkin kerana saya orang kurang upaya (OKU).

​“Satu malam saya termimpi tentang ayam… lama saya fikir tentang mimpi itu. Akhirnya saya percaya itulah mimpi yang membawa saya ke Ayam Bismi,” ceritanya.

​Menurut Anuar, dia masih teringat hari pertama ditemuduga oleh Pengarah Urusan Ayam Bismi Empire Sdn. Bhd., Hajah Mazlina Kamarudin untuk bekerja di syarikat ini.

​“Saya datang temuduga tak letak harapan tinggi kerana saya tahu pandangan orang kepada OKU seperti saya. Tetapi pandangan Hajah Mazlina sebaliknya, Hajah bukan sahaja bagi saya semangat tetapi kerja.

​“Saya memang terhutang budi dengan syarikat ini yang sudi ambil saya bekerja kerana saya memang terpaksa bekerja untuk sara keluarga termasuk seorang anak yang masih bersekolah,” katanya.

​Di kilang itu, rutin kerja Anuar yang mempunyai sijil tauliah sembelih daripada JAKIM bersama lima pekerja lain bermula pada pukul 5 pagi dan setiap hari dia menyembelih kira-kira 3,000 ayam.

​Bagi Hajah Mazlina, pekerja seperti Anuar juga memainkan peranan penting dalam syarikat ini apatah lagi visi utama Ayam Bismi adalah, Peneraju Solusi Ayam Halal Untuk Ummah Di Malaysia.

​“Pekerja di Ayam Bismi terdiri daripada pelbagai latar belakang dan status seperti ibu tunggal dan OKU seperti Anuar.

​“Saya percaya apabila kita memberi rezeki kepada orang lain maka Allah akan turunkan rezeki kepada kita juga. Mungkin ini adalah doa-doa daripada pekerja-pekerja itu yang kita bantu,” katanya.

​Bismi Empire Sdn Bhd adalah sebuah syarikat milikan bumiputera yang menekankan konsep halal 100 peratus kepada ternakan,sembelihan dan mengedarkan produk. ​Produk-produk utama syarikat ialah ayam daging hidup, ayam segar beku dan ayam segar beku siap potong dan cuci. Selain itu, syarikat juga menyediakan produk sampingan seperti chicken popcorn, ayam perap, ayam kisar dan, rempah ayam goreng tandoori.

Scroll to Top