ALOR SETAR: Berapa gaji Apid? Lima. Berapa ekor ayam Apid proses? Lima. Berapa banyak Apid simpan dalam Tabung Haji? Lima.
Terkedu seketika apabila berbual dengan lelaki ini kerana perasaan akan berbaur antara lucu dan simpati.
Tetapi itulah Muhammad Apid Ishak, 39, yang jika ditanya berapa umur tentu dijawabnya lima kerana dia seorang buta huruf yang tidak boleh membaca mahupun mengira kerana kiraannya cuma sehingga angka lima sahaja.
Bukan itu sahaja, dia yang lebih mesra disapa Apid dalam kalangan warga Ayam Bismi ini juga merupakan orang kurang upaya (OKU) dengan masalah pembelajaran.
Di Ayam Bismi, Apid sejak dua tahun lepas bekerja sebagai pekerja am dan semua urusan kewangannya diuruskan oleh syarikat kerana status buta hurufnya itu.
Ketika bercerita Apid memberitahu, dia pernah bekerja di dusun milik majikannya itu sebelum bekerja sebagai tukang kebun di rumah mereka dan seterusnya diserapkan ke Kilang Memproses Ayam Bismi di Simpang Empat Kangkung di sini.
โSeronok sebab Apid dapat kerja dan ada duit. Duit Apid dapat simpan dalam Tabung Haji,โ katanya yang menetap bersama bapanya tidak jauh daripada kilang ini.
Apid memberitahu, oleh kerana dia tidak dapat mengira atau membaca semua urusan berkaitan kewangan diuruskan syarikat ini yang turut menyediakan akaun khas untuk simpanannya.
โDulu Apid jaga dan bersihkan kebun Haji dan Hajah lepas itu jadi tukang kebun di rumah Haji dan Hajah.
โApid suka kerja sana tetapi tak ada kerja dah kat sana sebab itu Apid kena datang kerja sini. Tak apalah sekurang-kurangnya Apid ada kerja dan dapat wang, boleh masuk Tabung Haji,โ ceritanya selalu tergesa-gesa kerana mahu menyiapkan kerjanya.
Ayam Bismi turut menjadi tempat seorang lagi OKU seperti Apid, Mohd. Mukhriz Omar, 34, mencari rezeki sejak beberapa minggu lepas.
โDulu saya kerja kilang perabut tetapi nak solat tak boleh jadi saya minta kerja sini.
โAlhamdulillah, tak sangka majikan di sini ambil berat hal pekerja. Lagipun kerja di sini seronok sebab banyak kawan,โ katanya yang juga seorang OKU masalah pembelajaran.
Dalam pada itu menurut Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi), Hajah Mazlina Kamarudin, syarikat sentiasa memberi peluang kepada golongan OKU untuk bekerja mengikut kemampuan mereka.
โApid ini orang istimewa. Dulu dia ikut penjaga dusun kami lepas itu kami tawarkan kerja di kilang.
โPada pandangan saya Apid ini seorang yang rajin bekerja dan boleh buat apa saja kerja tanpa bantahan cuma kita kena kawal selia dia kerana masalah dia juga tak boleh marah atau biarkan dia stres. Jadi saya fahamkan penyelia dia keadaan itu,โ katanya.
Katanya, Ayam Bismi berusaha sedaya upaya untuk membantu pelbagai golongan masyarakat terutama yang kesusahan untuk meneruskan kehidupan sebaik-baiknya.
โKami ingin pastikan Ayam Bismi bukan sekadar menternak, memproses dan mengedar ayam tetapi memberi peluang kepada golongan tidak berkemampuan ini menaikkan taraf hidup mereka,โ katanya.
Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) adalah sebuah syarikat milikan bumiputera yang menekankan konsep halal 100 peratus kepada ternakan, sembelihan dan pengedaran produk.
Bismi Empire Sdn. Bhd. turut mempunyai empat anak syarikatnya iaitu, Bismi Cergas Sdn. Bhd. yang menjalankan aktiviti penternakan, Ayam Bismi Sdn. Bhd. (pemprosesan dan pemasaran), Naka Biolife Sdn. Bhd., (mengendali makmal diagnosis) dan Ayam Bismi Food Sdn. Bhd.(pemprosesan produk hiliran).