ALOR SETAR: Krisis dan kemelut yang melanda industri ayam ketika ini memberi kesan kepada syarikat penternakan yang mengalami kerugian.
Menurut Pengasas dan Presiden Bismi Empire Sdn. Bhd., Haji Jaffri Ahmad, krisis itu berpunca daripada kenaikan harga dedak sehingga 40 peratus sejak tahun lepas, skim kawalan harga ayam yang tidak munasabah dan kekurangan pekerja asing di sektor ini.
“Harga dedak yang dah naik 40%, harga kawalan yang tidak munasabah, kekurangan pekerja asing yang pulang tidak masuk semula dan ancaman kemasukan lambakan ayam import.
“Dengan kemelut dan krisis ayam yang berterusan tahun ini banyak bagi kesan dan kerugian untuk syarikat,” titip beliau dalam hantaran terbaharu di laman Facebook miliknya semalam.
Begitu pun di sebalik pelbagai kesukaran dan cabaran termasuk kerugian yang harus ditanggung syarikat ketika ini terutama ketika menjual ayam pada harga bawah kos, Ayam Bismi ingin terus bertahan sebagai pengeluar ayam halal utama milik bumiputera.
“Setiap kesukaran pasti ada kemudahannya, dua kali Allah SWT menyebut dalam Surah Al-Insyirah. Dalam setiap masalah pasti akan ada peluang di sana.
“Allah akan mempersoalkan kita apa yang kita lakukan di atas muka bumi ini semasa engkau hidup ini, sedangkan nikmat yang Aku berikan terlalu banyak kepada kamu,” tulisnya.
Katanya lagi, Ayam Bismi akan berusaha mencari jalan demi memastikan syarikat ini bertahan demi menjaga bukan sahaja bekalan makanan negara tetapi juga sumber makanan yang halal.
“Sokongan semua pihak penting untuk bekalan ayam, industri halal negara ini termasuk semua stokis dan ejen kami yang bergantung kepada kami, “ katanya.
Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) bermula dengan sebagai syarikat memproses dan menjual ayam kecil-kecilan pada 1988 yang kemudian berkembang dalam segmen penternakan yang kini mempunyai 18 ladang bersepadu dengan kapasiti ternakan 2 juta ekor ayam. Sehingga kini Ayam Bismi mengeluarkan lebih 1 juta hasil ternakan sebulan.
Ayam Bismi yang bergelar syarikat milikan bumiputera sepenuhnya kemudian mengorak langkah memasarkan hasil ternakan secara borong dan runcit melalui penubuhan empat anak syarikatnya, Bismi Cergas Sdn. Bhd. yang menjalankan aktiviti penternakan, Ayam Bismi Sdn. Bhd. (aktiviti pemprosesan dan pemasaran), Naka Biolife Sdn. Bhd. (mengendali makmal diagnosis) dan Ayam Bismi Food Sdn. Bhd. (pemprosesan produk hiliran).
Pada masa ini, Ayam Bismi berkembang pesat dengan mencari ejen dan stokis di seluruh Malaysia untuk memasarkan Ayam Segar Beku (FFC) yang dipotong, dicuci dan dibekukan segera serta produk hiliran seperti Ayam Popcorn, Ayam Perap, Ayam Kisar, Rempah Ayam Goreng Tandoori, Bebola Ayam (Bisball). Terdapat 600 stokis-ejen di seluruh Malaysia.