Tabah Karim jaga, temani isteri OKU, derita sakit buah pinggang

ALOR SETAR: Kelibat Karim Md. Saad, 47, bukan asing lagi di Rumah Makan Percuma (RMP) sebelum ini.

​Malah RMP yang terletak berdekatan Pusat Jualan Utama dan Kilang Memproses Ayam Bismi itu menjadi tempat dia bergantung untuk mendapatkan makanan tengah hari percuma bagi sekeluarga.

​Kehidupan Karim, tiga beranak barangkali serba kekurangan dari segi kebendaan namun keluarga itu menjalani kehidupan mereka penuh kasih sayang dan kesetiaan.

​Karim, sejak dua tahun lepas terpaksa berhenti kerja kerana perlu mengurus isteri, Sofiah Abu Seman, 44, yang diisytiharkan orang kurang upaya (OKU) setelah kaki kirinya dipotong pada paras paha akibat komplikasi kencing manis.

​Selain itu, Sofiah juga menghidap penyakit buah pinggang yang perlu menjalani rawatan dialisis empat kali sehari di rumah mereka di Jalan Kangkong, Simpang Empat di sini.

​Lantas rutin harian Karim, selain mencari rezeki menyara keluarga, dia juga perlu menguruskan keperluan Sofiah sepenuhnya termasuk semua kerja rumah daripada masak, basuh dan mengemas.

​Begitu juga Karim perlu memastikan rawatan dialisis isterinya itu dilakukan mengikut jadual ditetapkan iaitu empat kali sehari.

​Karim bagaimanapun, tidak mengeluh malah menganggap ia cuma satu ujian berat untuk keluarga kecilnya itu walaupun terpaksa berhenti kerja sejak dua tahun lepas kerana masalah itu.

​“Dulu kerja di sebuah kilang kopi, lama kerja di situ lebih kurang 15 tahun tetapi apabila isteri sakit dan hilang kaki kiri saya tak ada pilihan selain berhenti kerja untuk mengurusnya.

​“Kalau saya tinggalkan dia seorang diri, siapa yang nak bantu dia buat dialisis? Anak lelaki, Mohd. Arif Ramadhan, 13, belajar di sekolah asrama penuh Kubang Pasu,” katanya.

​Kata Karim, bagi menyara keluarga, dia melakukan kerja kampung dengan mengambil pelbagai upah termasuk mengecat rumah atau bertukang.

​Menurutnya, keperluan makanan tidak menjadi masalah memandangkan dia bercucuk tanam dan menternak ayam sendiri selain bekalan beras akan disumbangkan oleh pihak zakat negeri.

​“Alhamdulillah anak juga dapat bantuan termasuk apabila dia nak ke asrama penuh dulu semua guru-guru sekolah rendah dia yang uruskan. Di asrama dia juga dapat bantuan, jadi kurang sikit beban,” katanya.

​Prihatin dengan nasib keluarga ini, syarikat Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) tampil menghulur sumbangan 2 ekor ayam melalui program Ayam CSR yang diwujud untuk membantu golongan susah mendapat bekalan makanan yang sihat. Syarikat akan beri perhatian dan menghulurkan lagi bantuan. Karim sekeluarga sebelum ini juga merupakan tetamu tetap RMP setiap hari bagi mendapatkan makan tengah hari untuk keluarganya.

​RMP yang beroperasi di premis kedai makan itu diinspirasi oleh Hajah Mazlina dan suami, Haji Jaffri Ahmad yang juga Pengasas Ayam Bismi sebagai rasa prihatin kepada masyarakat setempat terjejas akibat pandemik tahun lepas. RMP bagaimanapun ditutup sementara sejak bulan lepas ekoran PKP 3.0.

Jika ada yang berhajat nak hulurkan bantuan kepada En Karim, boleh terus menghubunginya:

Telefon: 011 21454210

​No. Akaun Bank:

Karinm b. Md Saad

0213141100018072BSN

Scroll to Top