ALOR SETAR: “Saya sakit buah pinggang, siapalah nak ambil saya kerja.”
Itu luahan Azmiza Zainol, 34, yang menghidap penyakit itu sejak berusia 16 tahun namun keadaan itu tidak pernah dijadikan alasan untuk berusaha mencari rezeki bagi membantu keluarganya.
Begitupun sesuatu yang agak menyedihkan, kerana penyakit itu juga, kata Azmiza, menyebabkan dia sukar mendapat pekerjaan apatah lagi apabila dia perlu menjalani rawatan dialisis.
“Dulu selama lapan tahun saya bekerja di pawagam Alor Setar, tapi bila pawagam tukar pengurusan saya tak diambil semula bekerja. Lepas itu memang susah nak dapat kerja, jadi saya kerja kafe satu jabatan di Alor Setar bantu mak saudara. Tetapi apabila kontrak dia tidak disambung, saya pun hilang kerja.
“Saya sedar dengan penyakit saya ini siapalah yang nak ambil saya bekerja. Kalau temuduga pun saya akan bagi tahu awal-awal saya ada penyakit takkan nak tipu sebab saya perlu buat dialisis tiga kali seminggu bermula pukul 5 pagi hingga 9 pagi,” ceritanya yang menetap di Tandop, Alor Setar bersama lapan anggota keluarganya.
Di saat dia semakin putus asa untuk kembali bekerja, kata Azmiza, syarikat penternakan, pemprosesan dan pengedaran, Bismi Empire Sdn. Bhd. yang menerajui jenama Ayam Bismi menawarnya bekerja sebagai pembantu tukang masak di Rumah Makan Percuma (RMP) syarikat berkenaan.
“Memang tak jangka mulanya saya buat kerja sambilan saya bantu kakak, Azura Zainol, 48, yang bekerja di RMP. Bila Hajah (Mazlina Kamarudin, Pengarah Urusan Bismi Empire) mengetahui kesusahan saya dia terus bertanya, kenapa tak kerja saja di sini?
“Alhamdulillah, saya terima dengan hati terbuka kerana siapa yang nak bagi saya berkerja lagi. Saya memang berterima kasih kepada Hajah dan Ayam Bismi kalau tak memang tak ada kerja saya lagi,” katanya yang lebih dikenali sebagai Acu.
Azmiza turut bercerita, dia mendapat kelonggaran bekerja di RMP memandangkan terpaksa membuat rawatan dialisis setiap Ahad, Selasa dan Khamis.
“Jika ada dialisis saya masuk kerja pukul 10 pagi. InsyaAllah saya akan bekerja dengan sebaik mungkin,” katanya yang turut menasihati orang ramai terutama remaja supaya mengamalkan pemakanan yang seimbang dan sihat bagi mengelak penyakit tersebut.
Dalam pada itu, menurut Hajah Mazlina, sebagai sebuah syarikat bumiputera pihaknya membuka peluang luas kepada golongan tidak berkemampuan meraih pendapatan.
“Pekerja di Ayam Bismi terdiri daripada pelbagai latar belakang dan status seperti ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) .
“Saya percaya apabila kita memberi rezeki kepada orang lain maka Allah akan turunkan rezeki kepada kita juga. Mungkin ini adalah doa-doa daripada pekerja-pekerja itu yang kita bantu,” katanya.
RMP yang beroperasi di premis kedai makan berdekatan Pusat Jualan Utama dan Kilang Memproses Ayam Bismi itu diinspirasi oleh Hajah Mazlina dan suami, Haji Jaffri Ahmad yang juga Pengasas Ayam Bismi sebagai rasa prihatin kepada masyarakat setempat terjejas akibat pandemik tahun lepas.
Bismi Empire Sdn Bhd adalah sebuah syarikat milikan bumiputera yang menekankan konsep halal 100 peratus kepada ternakan, sembelihan dan mengedarkan produk.