Sijil halal kembangkan segmen produk sejuk beku

ALOR SETAR: Syarikat pengeluar produk sejuk beku, Ayam Bismi Food Sdn. Bhd. (Ayam Bismi Food) berhasrat memperkukuhkan pasaran produknya termasuk menembusi pasaran luar negara seperti Brunei.

Anak syarikat Bismi Empire Sdn. Bhd. yang juga penternak dan pengeluar ayam terkemuka di Kedah optimis dengan misi tersebut dalam tempoh lima tahun akan datang terutama dengan segmen halal yang diterokai Ayam Bismi sejak 2022.

Menurut Pengarah Ayam Bismi Food, Ira Haryani Jaffri yang juga Eksekutif Pembangunan Perniagaan, setakat ini syarikat berkenaan mengeluarkan sebanyak 12 produk sejuk beku yang berjaya memasuki pasar raya besar di seluruh negara ini.

“Ayam Bismi melabur sebanyak RM1.6 juta untuk membina kilang bagi produk sejuk beku yang bermula dengan produk ayam kisar, bebola ayam, popcorn ayam dan ayam goreng rangup. Daripada situ Ayam Bismi berkembang memberi nilai tambah kepada segmen ini dan setakat ini sudah ada 12 produk sejuk beku.

“Kesemua produk ini mempunyai pensijilan Halal daripada Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan jabatan agama Islam termasuk MeSTI (Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri) daripada Kementerian Kesihatan,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat Ayam Bismi di Simpang Empat di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, memasuki segmen itu nyata memberi kelebihan kepada produk berkenaan sehingga mampu meraih permintaan dalam kalangan penggemar produk sejuk beku.

“Kepentingan sijil halal ini ia akan membuktikan bahawa produk kita bersih dan suci. Kita berjaya masuk ke pasar raya besar juga kerana status Halal dan MeSTI ini. Begitu juga untuk melebarkan sayap ke luar negara ini perkara asas yang perlu kita lakukan.

“Pada masa hadapan kita akan memohon pula sijil GMP (Amalan Pengilangan Baik) dan HACCP (Sistem Mata Kawalan Analisis Kritikal) untuk memperkukuhkan lagi segmen ini terutama untuk ke pasaran luar negara,” jelasnya.

Katanya, produk sejuk beku Ayam Bismi seperti nuget tempura dan popcorn ayam meraih sambutan dalam kalangan penggemar.

“Ini antara produk terlaris kami. Ayam Bismi melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama beberapa tahun sebelum menghasilkan produk ini untuk mengenalpasti citarasa pengguna.

“Keyakinan kami tinggi kerana bahan utama produk iaitu ayam yang kami gunakan adalah berkualiti kerana daripada kilang pengeluaran ayam kami sendiri. Daripada rasa yang unik kami juga yakin dengan reputasi Bismi Empire sebagai syarikat halal toyyiban ini mampu memberi kelebihan kepada produk sejuk beku kami,” katanya.

Tambahnya, Ayam Bismi turut memberi peluang kepada orang ramai untuk meraih pendapatan sebagai ejen dengan memasarkan produk berkenaan di seluruh negara.-UTUSAN

Scroll to Top