ALOR SETAR: “Masa bekerja itu juga berkaitan masalah hati… miliki majikan yang baik. Itu rezeki terbaik daripada Allah.”
Itu kata Trisusanto Supardi, 48, beberapa bulan lepas apabila ditanya kenapa dia mampu bertahan hampir tiga dekad bersama Ayam Bismi.
Ayam Bismi baru berusia enam tahun ketika lelaki yang lebih dikenali sebagai Pak Anton ini melangkah ke sini. Syarikat ini baru mahu bertatih dan lelaki ini adalah yang pertama bekerja dengan Ayam Bismi.
Pertemuan, perpisahan, jodoh dan kematian… itu takdir yang Allah sudah tulis.
Sudah tertulis juga hari ini ‘jodoh’ Pak Anton dan Ayam Bismi berakhir tatkala dia memilih meninggalkan juga syarikat ini untuk pulang ke Indonesia selepas 28 tahun.
“Saya mohon maaf dan syukur kerana dapat bekerja bersama Ayam Bismi. Rasa terharu dan saya tidak boleh bercakap lagi,” kata Pak Anton ketika diraikan dalam Majlis Perpisahannya bersama warga Ayam Bismi di Rumah Makan Percuma (RMP) di sini hari ini.
Turut meraikan Pengasas dan Presiden Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi), Haji Jaffri Ahmad, Pengarah Urusan, Hajah Mazlina Kamarudin dan Pengurus Besar, Azli Saat serta pengarah-pengarah syarikat.
Menurut Haji Jaffri, pemergian pekerja seperti Pak Anton disifatkan satu kehilangan untuk dirinya sebagai pengasas syarikat ini.
“Dia (Pak Anton) susah payah bersama saya. Ini saat yang tidak mahu saya hadapi tetapi datang juga. Perkara yang menyedihkan tetapi terpaksa terima.
“Pekerja paling lama dengan Ayam Bismi dan saya harap jadikan dia sebagai contoh,” katanya.
Sementara itu menurut Hajah Mazlina, Ayam Bismi menghargai pengorbanan Pak Anton yang sanggup meninggalkan keluarga di Indonesia untuk berkerja di sini bagi tempoh masa yang panjang.
“Anton antara orang yang awal hadir Ayam Bismi, walaupun berat kami lepaskan dia untuk pulang kerana sudah tiba masanya pulang untuk bersama keluarga meneruskan hidup.
“Mengukur kesetiaan baik dalam kerjaya mahupun perkahwinan, bukan semata-mata orang itu sempurna atau sepadan 24 jam tetapi bagaimana kita mengubah sudut pandang itu kepada sesuatu yang positif,” katanya.
Memetik kata-kata Pak Anton ketika menemubualnya dahulu, dia memilih untuk kekal bekerja di tempat ini kerana layanan baik yang diterima daripada majikannya.
“Syukur, Alhamdulillah saya mendapat majikan yang dapat melayan saya bukan saja sebagai pekerja tetapi saya dapat merasainya sebagai satu keluarga.
“Haji dan Hajah memang seorang yang tegas apabila bab kerja tetapi mereka berdua sangat prihatin. Payah nak jumpa majikan yang mahu mengajak kita makan semeja dan bersembang ,” katanya.
Katanya, Ayam Bismi dahulu dan sekarang banyak bezanya kerana syarikat ini pantas maju.
“Dahulu bila mula-mula datang bekerja di sini Ayam Bismi hanya sebuah syarikat kecil. Saya masih ingat awalnya, kita hanya memproses 300 ke 400 ekor ayam sehari.
“Waktu itu hanya ada saya dan seorang pekerja lain yang juga dari Indonesia. Kamilah yang sembelih dan proses malah kadang kala tangkap ayam. Lucu ingat,” ceritanya sambil ketawa.