“Saya nak beli baju dan seluar raya dengan duit ni.”

ITU kata Matnor Hamid, 60, seorang pesawah dari Tokai, Pendang.

“Alhamdulillah dapat duit zakat Ayam Bismi ni dapatlah beli baju raya ingat nak pakai yang lama,” katanya yang juga OKU masalah pembelajaran.

Matnor merupakan salah seorang daripada 200 penerima sumbangan zakat daripada Ayam Bismi yang diagihkan pada Majlis Wakalah Zakat Ayam Bismi bersama syarikat pengendali umrah dan haji terkemuka negara, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd berlangsung di Rumah Makan Percuma (RMP) semalam.

Pada majlis tersebut sebanyak 200 golongan asnaf yang tinggal berdekatan dengan RMP mendapat sumbangan wang tunai RM200 sementara Andalusia turut menunaikan zakat dalam bentuk makanan seperti sekampit beras 10 kg, telur, dua ekor ayam segar, Bebola Ayam Bismi dan dua paket bihun.

Program itu julung kali diadakan antara Andalusia dan Ayam Bismi yang menyaksikan kehadiran Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd, Datuk Haji Md Daud Che’ Ngah serta Pengerusi Ayam Bismi, Haji Jaffri Ahmad dan Pengarah Urusannya, Hajah Mazlina Kamarudin untuk menyampaikan sumbangan.

Menurut Hajah Mazlina, program tahunan merai dan menyantuni golongan tidak berkemampuan itu diharapkan sedikit sebanyak dapat menceriakan mereka.

“Zakat ini adalah daripada hasil pendapatan Ayam Bismi yang melibatkan penternakan, pemprosesan dan jualan ayam itu. Bila kita bayar zakat dan diberikan kembali dalam bentuk wakalah untuk diedarkan kepada penduduk setempat.

“Kita akan pilih penerima menerusi saluran masjid dan kita minta dipilih asnaf yang layak menerima zakat selain mereka ini akrab dengan masjid. Kita beri kepada mereka orang susah yang orang masjid kenal.

“Ini bukan kali pertama kerana kadang kala kita buat dua kali setahun dan ada juga kita bagi zakat ini kepada pekerja yang susah selain menggunakan zakat ini untuk menaja pelajar yang nak pergi belajar,” katanya.

Katanya, Ayam Bismi menunaikan zakat sebanyak RM400,000 setahun dan diharapkan dapat memberi sinar kebahagiaan kepada golongan terlibat.

“Saya berniaga untuk bagi manfaat kepada orang iaitu menyediakan ayam halal toyibban. Itu matlamat pertama selain sediakan peluang pekerjaan kepada 450 orang.

“Kita juga mewujudkan RMP yang menyediakan makanan percuma kepada 550 orang. Selain itu berkaitan zakat ini kerana kita nak buat keuntungan banyak untuk kita bantu Lembaga Zakat dan penduduk tempatan.

“Itu adalah matlamat kita dalam berniaga, bukan sekadar untung untuk diri sendiri dan keluarga sahaja. Sebagai peniaga kita tak cakap diri sendiri kerana saya dan suami ingin membantu masyarakat ketika ini,” katanya.

Beliau turut berharap sumbangan zakat berjumlah RM40,000 itu sedikit sebanyak menceriakan golongan terlibat dalam menyambut Ramadan dan membuat persediaan Aidilfitri nanti.

#ayambismi
#rumahmakanpercuma
#ramadan
#zakat

Scroll to Top