Rumah Makan Percuma wajar jadi teladan untuk lebih ramai bersedekah makanan – Datuk Hj Md Daud Che’ Ngah

USAHA Rumah Makan Percuma (RMP) meraih perhatian syarikat pengendali umrah dan haji terkemuka negara, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd menyumbang sebanyak RM50,000 untuk operasinya.

Lebih bermakna, sebahagian daripada sumbangan zakat itu turut diagihkan kembali kepada masyarakat setempat melalui Majlis Wakalah Zakat Andalusia bersama Ayam Bismi di RMP hari ini.

Pada majlis tersebut sebanyak 200 golongan asnaf yang tinggal berdekatan dengan RMP mendapat sumbangan sekampit beras 10 kg, telur, dua ekor ayam segar, Bebola Ayam Bismi dan dua paket bihun.

Ayam Bismi turut mengagihkan wang tunai kepada semua penerima dengan jumlah keseluruhan RM40,000 sebagai zakat kepada golongan asnaf berkenaan.

Program adalah yang julung kali diadakan antara Andalusia dan Ayam Bismi yang menyaksikan kehadiran Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd, Datuk Haji Md Daud Che’ Ngah serta Pengerusi Ayam Bismi, Haji Jaffri Ahmad dan Pengarah Urusannya, Hajah Mazlina Kamarudin untuk menyampaikan sumbangan.

Menurut Haji Jaffri, pihaknya terharu dengan keprihatinan Andalusia untuk menyumbang kepada RMP yang menyediakan makan tengah hari percuma kepada 550 pengunjung sejak empat tahun lalu.

“Andalusia menyumbang zakat sebanyak RM50,000 kepada RMP ini sesuatu yang amat dihargai oleh Ayam Bismi apabila ada syarikat korporat sanggup bersama-sama menjayakan usaha Ayam Bismi menghidupkan RMP ini.

“Namun sumbangan itu RMP tidak ambil semua tetapi kita bagi balik kepada mereka yang memerlukan melalui program hari ini. Bantuan beras, telur, ayam, bihun dan wang tunai ini diagihkan kepada penduduk setempat. Ia diharapkan dapat memanfaatkan kepada semua,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Sementara itu menurut Datuk Haji Md Daud, beliau mengagumi usaha Ayam Bismi melalui RMP tersebut yang dianggap usaha murni kepada anggota masyarakat.

“Andalusia mengeluarkan banyak zakat di seluruh negara dan kali ini di Kedah kita menyumbang kepada RMP. Ayam Bismi buat kenduri panggil orang makan enam kali seminggu. Ini adalah tuntutan dalam Islam kerana siapa yang bagi makanan terutama ketika berpuasa itu diberikan rahmat.

“Bersedekah ketika Ramadan banyak pahala dan bagi orang makan, barakah itu ada. Saya berbesar hati dapat menjalinkan silaturahim ini. Ini kali pertama Andalusia dan Ayam Bismi bergabung.

“Selain itu saya berharap usaha Ayam Bismi bersedekah melalui RMP ini menjadi teladan dan ikutan orang lain juga untuk sedekah makanan. Perkara ini usaha murni yang patut disebarkan kepada semua,” katanya yang pertama kali menjejakkan kaki ke RMP.

Bagi penerima sumbangan itu, Abdul Somad Salleh, 68, dari Simpang Empat, bantuan tersebut sangat bermakna kepada keluarganya terutama ketika menyambut Ramadan dan Syawal nanti.

“Beras, telur dan ayam ini semua sudah naik harga. Bila dapat percuma syukur sangat dapatlah isteri masak untuk berbuka untuk kami tiga beranak. Kebaikan Andalusia dan Ayam Bismi ini hanya Allah SWT mampu balas,” katanya.

Shahrizan Othman, 54, memberitahu, dia sangat terharu menerima sumbangan termasuk wang tunai yang sedikit sebanyak meringan bebannya yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Moga Allah beri pahala yang besar untuk Andalusia dan Ayam Bismi yang menceriakan kami orang tidak berkemampuan ini. Sekurang-kurangnya bernafas juga dengan bantuan ini termasuk wang tunai,” katanya.

#ayambismi
#rumahmakanpercuma
#andalusia
#ramadan

Scroll to Top