ALOR SETAR: “Pukul 3 petang saya harus balik, mandikan abah… tukar lampinnya untuk siapkan dia bagi solat Zohor.”
Itu rutin pekerja am Ayam Bismi, Farizam Suhaidi Zainol Abidin, 37, setiap hari yang bergegas dari Pejabat Operasinya di Simpang Empat Kangkong di sini ke rumahnya di Taman Bersatu Kuala Kedah.
Atas alasan itu, kata Farizam, dia berasa beruntung kerana bekerja di syarikat yang memahami tanggungjawab yang harus disempurnakan ke atas orang tuanya itu.
Katanya, peluang yang diberikan Ayam Bismi itu membolehkan dia mempunyai pekerjaan untuk menyara keluarganya pada masa yang sama menjaga mereka dengan tangannya sendiri.
“Saya bersyukur sangat dapat kerja dengan waktu yang fleksibel kerana pukul 3 petang saya harus pulang uruskan abah untuk solat. Itu tidak boleh tinggal kerana tanggungjawab saya.
“Di syarikat lain mungkin sukar majikan lain nak ikut masa kita dan bagi pengecualian seperti ini,” katanya.
Farizam yang sudah tiga tahun bekerja di syarikat ini memberitahu, dia terpaksa bertukar kerja dari syarikat percetakan di Pahang ke sini sejak tiga tahun lepas untuk menjaga bapanya, Zainol Rashid Abdul Wahab, 70, yang menghidap strok dan ibunya, Saodah Din, 69, yang uzur kerana sakit tua.
“Abah terkena mild strok setelah jatuh motosikal dan anggota sebelah kanannya lumpuh. Mak pula tak larat sebab usianya.
“Apabila abah jadi macam itu terpaksalah saya buat keputusan berpindah ke Kedah untuk menjaga mereka terutama sekali ayah yang tidak dapat menguruskan dirinya sendiri,” katanya yang masih belum berkahwin.
Bercerita lanjut kata Farizam, rutinnya setiap hari bermula selepas Subuh dengan memandikan ayahnya itu sebelum ke tempat kerja.
“Saya perlu mandikan abah dan pakaikan dia lampin sebelum datang kerja. Mak walaupun sedikit uzur dia boleh uruskan dirinya sendiri.
“Saya bernasib baik kerana ada adik perempuan yang mengurus kerja rumah termasuk masak,” katanya.
Menurut Farizam, dia tidak menganggap tanggungjawab itu satu bebanan sebaliknya amanah daripada Allah yang perlu disempurnakan sebagai anak.
“Kalau saya tidak buat semua ini siapa lagi. Nak biarkan adik uruskan seorang diri tentu dia pun tak mampu sebab perlu buat banyak kerja rumah lain juga,” katanya.
Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) adalah sebuah syarikat milikan bumiputera yang menekankan konsep halal 100 peratus kepada ternakan, sembelihan dan pengedaran produk.
Bismi Empire Sdn. Bhd. turut mempunyai empat anak syarikatnya iaitu, Bismi Cergas Sdn. Bhd. yang menjalankan aktiviti penternakan, Ayam Bismi Sdn. Bhd. (pemprosesan dan pemasaran), Naka Biolife Sdn. Bhd., (mengendali makmal diagnosis) dan Ayam Bismi Food Sdn. Bhd.(pemprosesan produk hiliran).