ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengkaji semula penepatan harga siling ayam berikutan pemulihan bekalan bahan mentah itu dalam pasaran.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata pendekatan itu adalah bagi membantu rakyat memperoleh ayam pada harga yang lebih murah berbanding harga siling RM9.40 yang ditetapkan kerajaan ketika ini.
“Kita cuma menunggu masa sahaja bagi membantu mendapatkan harga yang lebih stabil. Kita akan adakan libat urus bersama dengan pelbagai pihak terutamanya peniaga bagi membolehkan harga siling ini diturunkan dengan manfaat akhirnya dinikmati oleh rakyat.”
“Insyallah, bila ada persaingan dikalangan peniaga terutamanya pasaraya besar maka mereka akan berlumba-lumba untuk menawarkan harga yang terbaik.”
KPDN juga katanya akan mengadakan libat urus sama dengan empat syarikat pembekal utama yang dikenalpasti bagi membantu mengimbangi harga ayam secara menyeluruh.
“Biar saya dapatkan fakta lengkap dari kementerian saya serta lain-lain kementerian seperti Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (MAF) dan Kementerian Ekonomi (EPU) sebelum saya mengadakan pertemuan dengan empat pemain utama yang dimaksudkan itu.”
“Saya harap kita dapat berunding dengan baik dan kita cuba mencari penyelesaian supaya rantaian nilai itu lebih stabil.”
Dalam perkembangan lain, mengulas isu minyak masak bersubsidi, Datuk Seri Salahuddin menasihatkan peniaga di kawasan kampung dan pedalaman turut mendaftar dalam Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (ECOSS).
Peniaga dinasihatkan tampil bagi mendapatkan bantuan dari pihak KPDN bagi memastikan pengagihan bekalan dapat dilakukan terus kepada mereka, selain mengelak dari risiko diambil tindakan kerana menjual pada harga yang lebih tinggi dari yang telah ditetapkan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke sebuah pusat jualan ayam, di sini, hari ini.