Kerajaan bersedia untuk mengkaji semula harga siling ayam

ALOR SETAR: Kerajaan bersedia untuk mengkaji semula harga siling ayam di peringkat runcit dalam masa terdekat ekoran bekalan segar itu sudah pulih seperti sediakala ketika ini.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menangani isu kos sara hidup rakyat.

“Harga siling ayam standard setakat ini kekal RM9.40 tetapi saya melihat di seluruh negara hari ini ada syarikat bermurah hati menjual di bawah harga itu. Ada yang jual RM7.90 dan ada RM8.90 sekilogram (kg).

“Kerajaan sedang mengkaji balik (harga siling) dalam masa terdekat cuma tunggu masa sahaja. Itu juga nanti akan membantu rakyat untuk mendapatkan harga ayam yang lebih stabil,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Pusat Jualan Ayam Bismi di Simpang Empat, di sini hari ini.

Kerajaan menetapkan harga siling bagi ayam standard di pasaran pada RM9.40 sekilogram pada Ogos tahun lepas.

Mengulas lanjut kata beliau, kementerian fokus untuk menangani isu kenaikan harga terutama bahan mentah di pasaran dengan mengadakan kerjasama bersama pemain utama termasuk di peringkat pengeluaran dan pembekal.

“Dalam masa sebulan ini, saya mengadakan perjumpaan dengan pihak pembekal dan juga pihak yang menjual barangan ini di peringkat pasar raya.

“Selepas ini saya akan cuba pergi lebih jauh iaitu untuk pergi kepada pemain sebenar. Ada empat syarikat besar yang akan saya umumkan nanti. Saya akan terus kepada mereka. Jadi di peringkat pengeluaran ini, dari mana masalah ini berlaku, tunggu saya dapatkan fakta lebih lengkap,” katanya.

Tambah beliau, kerjasama dengan pemain utama berkenaan juga diharap menjadi jalan penyelesaian terbaik untuk memastikan harga bahan berkenaan lebih stabil pada masa akan datang.

“Kita cuba mencari satu penyelesaian supaya rantaian bahan itu keseluruhannya dapat kita perbaiki dan ini akan memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, katanya, walaupun bekalan ayam sudah stabil di bahagian utara tanah air namun KPDN mengarah semua pejabatnya tidak bertolak ansur dan terus memantau untuk memastikan kes putus atau kekurangan bekalan tidak berulang. – UTUSAN

 

 

Scroll to Top