“Kami masak dengan penuh kasih sayang untuk tetamu RMP”

ALOR SETAR: “Bekerja sebagai tukang masak di Rumah Makan Percuma (RMP) ini adalah yang terbaik dalam kerjaya saya sebab ia bukan semata-mata makan gaji tetapi terlibat dengan CSR Ayam Bismi juga… bantu orang susah setiap hari.”

Itu kata, Azura Zainol, 47, tukang masak yang tidak asing lagi dalam kalangan penduduk Simpang Empat ini terutama selepas RMP beroperasi pada tahun lepas.

Tugas Kak Zura atau Cef Zura iaitu panggilan popular dalam keluarga besar Ayam Bismi ini sebenarnya bukan mudah apabila rutinnya bermula pada pukul 8 pagi apabila dia perlu meninjau dan membuat kiraan apakah yang sesuai dimasak untuk tetamu RMP setiap hari.

Kata Azura, setiap minggu tidak ada menu khas ditetapkan kerana dia dan teamnya seramai empat orang itu akan masak mengikut barang mentah yang disediakan.

Setiap hari, 35 kilogram (kg) beras perlu ditanak dan ayam pula sehingga 400 ketul perlu dimasak dengan pelbagai jenis juadah seperti yang paling menjadi kegemaran adalah ayam masak merah, masak asam, kicap dan tandoori.

Penat memang akan selalu ada katanya, tetapi semua itu hilang saat melihat tetamu hadir di RMP mengambil pek makanan percuma itu.

Walaupun setiap masa sibuk di dapur, katanya, di RMP yang menjadi tumpuan setiap hari untuk penduduk tempatan mendapatkan makanan tengah hari percuma itu, dia akan mencuri masa melihat pelbagai ragam tetamu daripada yang mencuit sehingga mengharukan hatinya.

“Yang datang ambil makanan ini memang pelbagai ragam. Ada yang membuat saya sedih, ada yang mencuit hati dan ada juga menguji kesabaran,” katanya.

Ditanya tentang pengalamannya kata ibu tunggal anak empat ini, pembukaan RMP pada tahun lepas adalah yang termanis terutama dengan sambutan orang ramai yang menggalakkan.

“Saya ingat masakan hari itu adalah ayam masak merah, sayur kacang dan sambal belacan. Semalaman tidak tidur apabila fikirkan macam manalah jadinya esok? Walaupun bertahun-tahun jadi tukang masak cemas juga.

“Tetapi Alhamdulillah, semua berjalan lancar hari pembukaan itu dan ramai yang datang. Itu paling seronok dan buat saya terus bersemangat untuk masak setiap hari. InsyaAllah, kami akan masak dengan penuh kasih sayang untuk tetamu demi amanah yang diberikan oleh majikan, Haji dan Hajah,” katanya.

Kata Azura, dia berbangga dapat berkhidmat di RMP bersama warga Ayam Bismi dan mempunyai bos yang disifatkan sangat mengambil berat tentang dirinya dan keluarga.

“Masak memang memenatkan tetapi bila hati seronok semua kepenatan itu hilang macam itu sahaja. Tekanan kerja memang tak ada tambahan apabila ada bos yang sangat prihatin dan peka.

“Suasana kerja itu yang paling penting kalau seronok, kita tak akan rasa terbeban dan seronok saja nak datang kerja setiap hari,” katanya.​

Menceritakan bagaimana dia berpeluang bekerja di RMP itu, kata Azura, dia diperkenalkan oleh sepupu yang bekerja sebagai tukang kebun dengan majikannya itu.

“Saya memang tengah mencari kerja dan sudah setahun tak ada kerja. Alhamdulillah Haji dan Hajah bagi saya peluang.

“Saya tahu RMP ini sangat berharga kepada Haji dan Hajah serta semua tetamu terutama yang susah dan miskin, insyaAllah saya akan bekerja dengan baik sehingga khidmat saya diperlukan di sini,” katanya yang pernah bekerja sebagai tukang masa di beberapa syarikat dan restoran sebelum ini.

Bermula 15 September ini, RMP menetapkan hanya tetamu yang divaksin dibenarkan untuk mengambil makanan demi menjaga kesihatan semua pihak dan mengelak penularan jangkitan.

RMP yang beroperasi di premis kedai makan berdekatan Pusat Jualan Utama dan Kilang Memproses Ayam Bismi itu diinspirasi oleh Pengasas dan Presiden Bismi Empire Sdn Bhd., Haji Jaffri Ahmad dan isteri, Hajah Mazlina Kamarudin yang juga Pengarah Urusan syarikat itu sebagai rasa prihatin kepada masyarakat setempat terjejas akibat pandemik tahun lepas.

Kini, setiap minggu dari Ahad sehingga Jumaat, RMP menyediakan lebih 400 pek makanan untuk tetamu dan pekerja Ayam Bismi.

Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) adalah sebuah syarikat milikan bumiputera yang menekankan konsep halal 100 peratus kepada ternakan, sembelihan dan pengedaran produk.

Ketika ini syarikat berkenaan merupakan satu-satunya syarikat bumiputera yang mempunyai rangkaian kilang bersepadu terbesar di Kedah dengan perolehan lebih RM160 juta, tahun lepas.

 

Scroll to Top