ALOR SETAR: Hajah Mazlina Kamarudin yang terpilih sebagai Panel Juri Penilai Kolej Komuniti (KK) melahirkan rasa kagum dengan komitmen institusi pendidikan tersebut terutama melahirkan usahawan dalam kalangan komuniti setempat.
Sebagai Panel Juri bagi Anugerah Keusahawanan Kementerian Pengajian Tinggi 2021 itu, Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) itu berpeluang melawat KK Hulu Langat, Selangor semalam iaitu antara tiga yang terpilih bagi kategori berkenaan.
“Saya amat tertarik dengan komitmen kolej komuniti untuk bangunkan usahawan. Saya sebelum ini kurang memberi perhatian tentang kolej ini, hari ini kami buat lawatan tapak menilai sebab mereka adalah tiga kolej komuniti yang tercalon ke peringkat akhir untuk pertandingan keusahawanan tersebut.
“Apa yang dicari sebenarnya bagaimana kolej komuniti dapat wujudkan usahawan dan ia dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Sebagai seorang juri saya didedahkan bahawa kolej komuniti mempunyai kursus jangka panjang seperti kursus pendingin hawa.
“Tetapi yang menarik mereka juga ada kursus pendek per menu dan per hari untuk komuniti di kawasan itu pergi belajar buat kuih… masak… buat baju. Ini kursus jangka pendek di mana seorang suri rumah boleh pergi belajar buat palazzo misalannya,” katanya.
Selain KK Hulu Langat, KK Pasir Gudang, Johor dan KK Sungai Petani turut terpilih bagi kategori berkenaan yang akan dilawati panel penilai diketuai oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Tuan Abdul Jammi Abdul Karim.
Turut mengiringi, Presiden dan Pengasas Ayam Bismi, Haji Jaffri Ahmad yang berkongsi idea dan pengalaman dalam bidang keusahawan yang diterokai 33 tahun apabila berjaya daripada memproses 50 ekor ayam sehingga sekarang mengeluarkan sejuta ekor ayam sebulan.
Jelas Hajah Mazlina lagi, peluang seumpama itu wajar direbut oleh semua wanita termasuk suri rumah untuk meningkatkan pendapatan keluarga terutama ketika pandemik ini.
“Untuk berjaya dalam hidup ini tak ada alasan sebab saya selalu berjumpa dengan orang mereka selalu kata nak berniaga tapi mereka tak tau apa nak buat. Tak pandai buat itu… ini… dan di kolej komuniti ini terdapat 100 lebih di Malaysia, mereka mengajar komuniti pelbagai jenis kursus.
“Pihak kolej juga perkenalkan kami kepada usahawan yang berjaya. Mereka juga belajar buat nasi lemak dan jadi usahawan nasi lemak. Di kolej komuniti ada beratus menu untuk diajar. Selain itu yang paling penting mereka juga diajar mengunakan Facebook dan Instagram untuk pasarkan produk itu,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa perniagaan di rumah yang dilakukan oleh kebanyakan peniaga ketika ini termasuk suri rumah antara yang boleh bertahan ketika persekitaran ekonomi yang tidak menentu zaman pandemik Covid-19 ini.
“Kebanyakan usahawan yang boleh bertahan adalah mereka yang melakukan perniagaan di rumah kerana mereka tidak tanggung kos kedai dan sebagainya. Mereka belajar di kolej dan jalankan perniagaan secara kecil-kecilan… mereka belajar buat kerepek dan sebagainya… pasarkan melalui Shopee.
“Kolej komuniti ini mempunyai sepasukan pensyarah yang berdedikasi dan bertanggungjawab mendidik anak-anak kita ada yang tidak boleh ke mana-mana seperti masuk universiti tetapi apabila mereka dibentuk mereka menampakkan banyak perubahan memiliki kemahiran tertentu,” katanya.
Bercerita lanjut kata Hajah Mazlina, pelbagai kemahiran yang ditawarkan di kolej berkenaan wajar direbut sebagai menyokong usaha kerajaan menaikkan taraf hidup rakyat.
“Saya sangat terharu dengan apa yang dibuat oleh kolej komuniti ini mereka bekerja dan berusaha untuk mendidik pelajar menjadi usahawan. Apa sahaja kemahiran yang diterapkan mereka juga diberikan ilmu keusahawanan.
“Bukan satu alasan untuk kita orang Malaysia.. kita dulu marah orang Pattani buka kedai makan sebab tak tahu masak… tak minat masak… sebenarnya mereka boleh pergi belajar di kolej komuniti.
Jangan mencari seribu alasan nak tunggu selesai pandemik… sampai bila nak harap bantuan daripada kerajaan. Kena cari skil kita sendiri dan skil itu perlu kita pertajamkan untuk kita ‘survive’ di masa akan datang,” katanya.