BANGI: Pengiktirafan yang diberikan kepada Ayam Bismi melalui Anugerah Jihad Bisnes – DPIM akan menjadi pemangkin semangat untuk syarikat ini meneruskan perjuangan memartabatkan sektor ini demi kepentingan ummah.
Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi), Hajah Mazlina Kamarudin yang juga Ahli Majlis Tertinggi Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) berkata, pihaknya berbesar hati dengan pengiktirafan tersebut setelah melalui pelbagai cabaran membangunkan syarikat ini yang dimonopoli oleh bukan Islam.
“Kita merasa terharu diberi pengiktirafan ini kerana industri ini dimonopoli oleh bukan Islam tetapi kita terus berjihad dan bina syarikat ini bermula kecil-kecilan.
“Akhirnya diberikan pengiktirafan jihad bisnes. Jihad… inilah yang Ayam Bismi lakukan selama ini dan apabila ada orang yang melihat, kita rasa bangga dan terbalas susah payah kita dalam menaikkan martabat Ayam Bismi dan industri ini,” katanya.
Ayam Bismi dinobatkan sebagai penerima Anugerah Jihad Bisnes Kategori Industri Perladangan yang julung kali diadakan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) bagi mengiktiraf pencapaiannya dalam industri berkaitan.
Majlis penyampaian anugerah tersebut berlangsung di Bangi Convention Centre (BCC) di sini malam tadi yang disempurnakan oleh Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Negeri Selangor, Mohd. Zawawi Ahmad Mughi.
Mengulas lanjut kata Hajah Mazlina, Ayam Bismi bukan sekadar syarikat berkaitan industri ternakan ayam tetapi juga berusaha memartabatkan usahawan Islam dalam bidang ini.
“Kita orang Melayu Islam pun boleh
berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan orang lain. Semoga anugerah ini dapat membuka mata orang lain… supaya apa cabaran yang melanda… apa cabaran dihadapi kita harus teruskan seperti Ayam Bismi ini sudah berada di pasaran sejak 1988.
“Kejayaan nak datang bukan mudah… banyak halangan yang dilalui tetapi saya berpegang kepada mentor Allahyarham Tan Sri Mohd Ali Hashim bahawa langkah pertama itu adalah permulaan kepada sejuta langkah seterusnya.
“Jadi daripada itu saya sematkan dalam hati saya… saya pegang daripada dulu sehingga kini kerana langkah pertama mesti kita lakukan, tak takut dan tak perlu berhenti,” katanya.
Katanya, beliau juga berharap anugerah ini akan menjadi kekuatan dan semangat kepada seluruh warga Ayam Bismi untuk meneruskan empayar ini.
“Jihad bisnes ini saya lakukan bersama dengan suami, Haji Jaffri Ahmad selaku Pengasas Ayam Bismi dan akhirnya berjaya
berjaya memartabatkan Ayam Bismi di seluruh Malaysia dan membantu ejen dan stokis untuk jana pendapatan.
“Apa yang penting adalah Rumah Makan Percuma apabila kita mampu memberi makan percuma kepada 400 orang. Ini sebenarnya sesuatu yang buat saya bangga,
saya tak akan berhenti di sini.
“InsyaAllah dengan anugerah ini akan bagi semangat kepada pasukan Ayam Bismi untuk mengorak langkah lebih jauh lagi,” katanya.
Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) bermula dengan sebagai syarikat memproses dan menjual ayam kecil-kecilan pada 1988, kemudian berkembang dalam segmen penternakan yang kini mempunyai 18 ladang bersepadu dengan kapasiti ternakan 2 juta ekor ayam.
Ayam Bismi yang bergelar syarikat milikan bumiputera sepenuhnya kemudian mengorak langkah memasarkan hasil ternakan secara borong dan runcit melalui penubuhan empat anak syarikatnya, Bismi Cergas Sdn. Bhd. yang menjalankan aktiviti penternakan, Ayam Bismi Sdn. Bhd. (aktiviti pemprosesan dan pemasaran), Naka Biolife Sdn. Bhd. (mengendali makmal diagnosis) dan Ayam Bismi Food Sdn. Bhd. (pemprosesan produk hiliran).
Pada masa ini, Ayam Bismi berkembang pesat dengan mencari ejen dan stokis diseluruh Malaysia untuk memasarkan Ayam Segar Beku (FFC) yang dipotong, dicuci dan dibekukan segera serta produk hiliran seperti Ayam Popcorn, Ayam Perap, Ayam Kisar, Rempah Ayam Goreng Tandoori, Bebola Ayam (Bisball). Terdapat 600 stokis-ejen di seluruh Malaysia.