ALOR SETAR: Berbeza dengan kebanyakan orang, ibu tunggal dan empat anaknya ini hanya mampu mendiami sebuah rumah ibarat kotak di Batu 9, Simpang Empat di sini sejak beberapa tahun lepas.
Percaya atau tidak, rumah yang menjadi tempatnya berlindung itu juga barangkali sebesar bilik tidur rumah anda berukuran cuma 12′ x22′ yang menjadi ruang dapur, makan, tidur dan menguruskan semua aktiviti harian termasuk tiga anaknya belajar bagi sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Walaupun hidup dalam serba kekurangan, Norhayani Azizan, 41, tetap tabah dan sabar membesarkan sendirian anak-anaknya, Nur Athirah Khairina Noor Azlan, 11, Muhammad Noor Akif, 9, Nur Afrina Khairina, 8, dan Nur Adriana Khairina, 4. Tiga daripada mereka belajar di sekolah kebangsaan berdekatan.
Norhayani terjerumus dalam kemiskinan itu sejak 2018 setelah diceraikan bekas suaminya yang kemudian meninggalkan mereka terkontang kanting lima beranak bukan sahaja tanpa sebarang nafkah tetapi tanpa tempat berlindung.
“Saya beruntung juga kerana ada saudara yang membenarkan kami tinggal di sini setelah saya berpindah dari Sungai Petani selepas diceraikan. Nak sewa rumah lain memang tak mampu,” katanya ketika ditemui di rumahnya itu baru-baru ini.
Bagi meneruskan kehidupan tanpa mengharapkan bantuan orang sepenuhnya, Norhayani bekerja sebagai tukang cuci pejabat di pusat bandar Alor Setar sejak November tahun lepas dengan gaji bersih RM780 sebulan.
“Walaupun agak jauh dari rumah saya gagahlah sebab susah nak dapat kerja lain. Apatah lagi saya ada penyakit, kurang garam (hiponatremia) kadang-kadang terpaksa dirawat di hospital,” katanya yang menaiki motosikal setiap hari ke tempat kerjanya itu.Di sebalik kesempitan itu, dia mengakui tetap bersyukur kerana sering menerima bantuan makanan daripada orang ramai yang prihatin termasuk majikannya.
“Kalau makanan insyaAllah tak putus kerana ada saja yang derma termasuk beras. Duit gaji saya buat belanja kelengkapan anak-anak sekolah,” katanya.
Selain itu, tiga anaknya turut menerima bantuan JKM berjumlah RM500 sebulan bagi persekolahan mereka.
Mereka yang ingin membantu keluarga malang ini boleh berbuat demikian dengan menyumbang ke nombor akaun BSN Norhayani, 0210041100018663. Nombor telefon beliau adalah 019-935 8071
Sementara itu, kesusahan keluarga itu mendapat perhatian daripada Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn. Bhd. Hajah Mazlina Kamarudin yang tanpa berlengah menghantar wakil menziarahi mereka dan menyampaikan sumbangan ayam percuma serta bantuan wang.
Menurut Mazlina, bantuan tersebut sedikit sebanyak diharapkan dapat menceria dan meringankan beban keluarga berkenaan.
Bismi Empire Sdn. Bhd. adalah sebuah syarikat milikan bumiputera yang menekankan konsep halal 100 peratus kepada ternakan, sembelihan dan pengedaran produk.