ALOR SETAR: Kerajaan perlu segera menangani kemelut harga ayam yang masih berterusan dan dijangka semakin memburuk menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri nanti.
Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn Bhd (Ayam Bismi), Mazlina Kamarudin berkata, memberi persepsi tentang kewujudan kartel atau orang tengah sebagai faktor permasalahan ini bukan penyelesaiannya.
“Ayam mahal sebab kartel. Ayam mahal sebab orang tengah. Yang sebenarnya kartel tu siapa? Boleh berikan nama. Boleh tunjukkan dengan jelas kepada pihak kerajaan. Orang tengah itu siapa? Adakah Pak Hamid yang mencari makan untuk membela anak yatim, iaitu cucunya yang kematian ayah mereka dan dia beli 30 ayam untuk dijual di kampungnya itu, dinamakan orang tengah.
“Benda mudah. Apa nak susah. Ayam mahal sebab kartel. Kartel beli jagung dan soya. Jual mahal. Abis tu pihak kerajaan tak ada contact di luar negara. Nak ambil tahu harga jagung dan soya. Bijak pandai yang hebat-hebat belaka. Tak boleh nak email dan minta quotation harga jagung. Dan report kepada pihak kerajaan.
“Semua dah cuci tangan. Aaaaa kartel punya pasal. Aaaa orang tengah punya pasal.
Kalau tak pakai orang tengah. Laratkah Bismi nak jual ayam ke serata ceruk Malaysia. Ejen dan stokis kami itu orang tengah kah? Pening juga,” luahnya melalui hantaran terbaharu dalam laman Facebook miliknya.
Katanya lagi, kenaikan harga telur ayam dipercayai akibat kekurangan bekalan ketika ini dijangka mempengaruhi pengeluaran bekalan ayam pada musim perayaan nanti.
“Puasa 3 April, anak ayam ayam daging kena masuk ladang pada 25 Februari. Telur ayam kena eram pada 4 Februari. Ia ambil masa 21 hari untuk menetas. Hari ini 19 Januari, kalau masih tak selesai pergelutan harga ayam ni. Telur itu akan jadi kek atau biskut lemak berkrim. Tak jadi anak ayam sebab tak dieramkan.
“Telur akan dieram mengikut tempahan daripada penternak. Kami tak berani nak tempah anak ayam banyak-banyak hanya cukup pakai saja. Kalau permintaan mencanak naik Ramadan?,” soalnya.
Tambahnya, isu kenaikan harga ayam itu memerlukan langkah tuntas dalam situasi menang menang bagi semua pihak daripada penternak, peniaga sehingga pengguna.