RAWANG: Mohd. Taufiq Che Din, 41, mengakui pernah dipandang sinis apabila dia sanggup meninggalkan kerjaya bagusnya dengan sebuah syarikat automotif antarabangsa untuk menjadi usahawan ayam.
Namun demi industri halal bekas pengurus ini sanggup melepaskan jawatannya di dalam pejabat berhawa dingin untuk menjadi usahawan Ayam Bismi pada tahun lepas.
Demi naiwaitu itu, langkah Mohd. Taufiq, tidak terhenti di situ sebaliknya bertekad mengembangkan bisnes itu dengan mewujudkan premis perniagaan sendiri, Hidayah Halal Mart yang menjual produk halal dan IKS itu sejak Januari lepas.
“Banyak orang sinis, tanya kenapa saya nak berniaga ayam sedangkan sudah ada kerjaya bagus.
“Saya bekerja selama 23 tahun dengan Mercedes Benz dari bawah sampai jadi pengurus tentulah terasa untuk meninggalkannya.
“Tetapi 23 tahun dengan kerjaya yang bagus itu belum cukup membanggakan, oleh sebab itu saya nekad tinggalkan Merc Benz dan fokus produk Ayam Bismi,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Hidayah Mart di Taman Bersatu Rawang baru-baru ini.
Bercerita lanjut, walaupun berat hati meninggalkan jawatan tingginya itu namun dia nekad demi niat untuk membangunkan sektor halal.
“Saya mula berniaga sejak masih bekerja dengan sebuah syarikat automatif dari Jerman termasuk menjual produk Ayam Bismi. Mulanya cuma COD saja pada waktu kelapangan.
“Tetapi pada tahun lepas bila pandemik melanda dan permintaan terhadap produk sejuk beku ini semakin meningkat saya buat keputusan untuk mengambil VSS kerana syarikat saya juga terkesan akibat pandemik.
Wang pampasan saya buka premis ini,” katanya.
Bercerita tentang pembabitan awalnya dengan Ayam Bismi, kata Mohd. Taufiq, dia pertama kali melihatnya dalam Facebook.
“Dulu belian saya cuma 50 pek sahaja kemudian naik 100 pek, 200 pek dan sekarang 400 pek.
“Alhamdulillah mendapat sambutan yang baik kerana Ayam Bismi sangat dikenali di Rawang ini. Di samping untuk mencari rezeki saya dapat memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan produk halal toyyiban,” katanya.
Setakat ini, selain Ayam Bismi Hidayah Mart menjual sebanyak 800 produk Muslim dan IKS milik bumiputera.
“Selain sebagai stokis saya juga melantik 10 mini ejen untuk pasarkan produk Ayam Bismi.
“Matlamat saya agar bisnes ini berkembang dan Hidayah Halal Mart mempunyai cawangan lain juga nanti,” katanya.
Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) bermula dengan sebagai syarikat memproses dan menjual ayam kecil-kecilan pada 1988, kemudian berkembang dalam segmen penternakan yang kini mempunyai 18 ladang bersepadu dengan kapasiti ternakan 2 juta ekor ayam.
Ayam Bismi yang bergelar syarikat milikan bumiputera sepenuhnya kemudian mengorak langkah memasarkan hasil ternakan secara borong dan runcit melalui penubuhan empat anak syarikatnya, Bismi Cergas Sdn. Bhd. yang menjalankan aktiviti penternakan, Ayam Bismi Sdn. Bhd. (aktiviti pemprosesan dan pemasaran), Naka Biolife Sdn. Bhd. (mengendali makmal diagnosis) dan Ayam Bismi Food Sdn. Bhd. (pemprosesan produk hiliran).
Pada masa ini, Ayam Bismi berkembang pesat dengan mencari ejen dan stokis diseluruh Malaysia untuk memasarkan Ayam Segar Beku (FFC) yang dipotong, dicuci dan dibekukan segera serta produk hiliran seperti Ayam Popcorn, Ayam Perap, Ayam Kisar, Rempah Ayam Goreng Tandoori, Bebola Ayam (Bisball). Terdapat 600 stokis-ejen di seluruh Malaysia.