Bukan Sekadar Cari Untung, 37 Tahun Ayam Bismi Kekal Pegang Prinsip Halalan Toyyiban

 

Berniaga merupakan sunnah Rasulullah SAW. Ramai yang tidak sedar, dalam setiap urusan perniagaan terselit banyak keberkatan yang boleh digapai. Namun, membina sebuah empayar perniagaan bukanlah satu perjalanan yang mudah. Tangisan, jerih perih, rasa kecewa dan putus asa, semuanya menjadi ‘makanan’ yang perlu ditelan oleh setiap insan yang ingin bergelar peniaga berjaya.

Perniagaan juga seharusnya bukan sekadar untuk mencari untung tetapi menjadi jalan untuk menuju reda Allah.

Lebih-lebih lagi apabila perniagaan tersebut melibatkan bekalan makanan mentah, yang menjadi makanan ruji orang ramai. Selain memastikan makanan itu berkualiti, perkara utama yang perlu dititikberatkan adalah mengenai proses pengeluarannya yang menepati syariat Islam.

Nilai inilah yang dipegang oleh pengasas perniagaan Ayam Bismi, Mazlina Kamarudin (58) dan Jaffri Ahmad (61). Selama lebih 37 tahun membina empayar perniagaan, mereka sehingga kini berpegang pada prinsip perniagaan yang berlandaskan Islam serta konsep ‘halalan toyyiban’.

Mazlina berkata sebagai orang Islam, setiap apa yang kita lakukan perlulah mempunyai niat yang betul iaitu mencari keredaan Allah.

Berniaga untuk cari reda Allah

“Niatlah bahawa kita nak berniaga ini adalah untuk mencari reda Allah. Itu yang kita pegang dulu. Apa yang kita buat pun adalah untuk mencari reda Allah.

“Jangan kita niat bisnes ini nak bawa mak aku pergi Mekah.

Betul niat itu tapi aku nak bawa mak aku pergi Mekah itu adalah untuk dapat reda Allah sebab mak aku melahirkan aku.

“Jadi, perkara paling utama buat bisnes ini untuk dapat rahmat Allah, untuk dapat reda Allah. Supaya Allah pandang kita suatu hari nanti di akhirat sana semasa kita meniti titian sirat,” katanya kepada SK.

Ayam Bismi bukan baru setahun dua bertapak kukuh di Alor Setar, Kedah, ia mengambil masa selama lebih tiga dekad iaitu sejak 1988. Walaupun permulaan perniagaan kelihatan samar dan ada likunya, Mazlina dan Jaffri tetap cekal meneruskannya kerana mempunyai visi untuk membekalkan bahan makanan yang bersih dan selamat kepada orang ramai.

Menjadi satu-satunya syarikat Melayu Muslim yang mengeluarkan produk ayam dari proses penternakan hingga ke jualan, terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi oleh mereka.

“Cabaran yang amat besar adalah kita satu-satunya syarikat Melayu yang menternak, memproses dan menjual ayam pada masa itu.

“Akhirnya kini kita syarikat Muslim yang mempunyai rangkaian ladang milik sendiri dan mempunyai kilang proses dan rangkaian pemasaran sendiri. Bagi kita, kita adalah syarikat Bumiputera Melayu yang paling besarlah.

“Jadi cabaran kita adalah bersaing dengan kartel-kartel tetapi kita tidak melihat perkara itu sebagai sesuatu yang susah kerana mana ada bisnes tanpa cabaran.

“Selain daripada kita memilih untuk bersaing dengan kartel, kita memilih untuk berkolaborasi dengan mereka dan ini lebih memudahkan bisnes kita,” ujarnya.

Mazlina juga menjelaskan bahawa cabaran lain yang dihadapi mereka adalah melibatkan pengurusan bisnes itu sendiri dan bagaimana mengatasi masalah kematian ayam.

Mengimbas kembali detik permulaan bisnes itu, Mazlina berkata beliau mula membantu mengembangkan perniagaan selepas berkahwin dengan Jaffri pada tahun 1990.

“Pada awalnya bisnes ini agak tidak stabil kerana Tuan Haji (Jaffri) terlalu kalut untuk kejar jualan, menyebabkannya tersilap memilih pelanggan.

“Banyak antara pelanggan dia hanya ingin mengambil kesempatan atas kebaikan dia dan perniagaan dia yang baru bermula.

“Orang faham yang pada masa itu mungkin dia terlalu ingin dilihat berjaya dalam bisnes. Jadi banyaklah orang yang menipu dia dengan tidak membuat pembayaran.

“Selain itu, banyak ayam yang mengalami sakit dan mati. Jumlah kematian itu mendekati hingga ke 80 peratus, tetapi yang tinggal 20 peratus, itu pun tidak dapat dijual,” katanya.

Kini ternak lebih 2 juta ekor ayam

Selepas menempuhi cabaran-cabaran tersebut, syarikatnya kini mempunyai ayam ternakan berjumlah sehingga 2.14 juta ekor.

“Pada masa kini, aktiviti teras kita adalah ternakan ayam di mana kita ada ladang yang berkapasiti 2.14 juta ekor ayam. Kita juga menternak sebanyak satu juta ekor ayam sebulan dan memproses sebanyak 25,000 ekor ayam sehari,” katanya.

Selain menghasilkan produk ayam segar yang dihantar ke seluruh semenanjung Malaysia, Ayam Bismi juga kini mempunyai kilang di bawah Ayam Bismi Food Sdn Bhd untuk mengeluarkan produk makanan sejuk beku. Ia terdiri daripada nugget tempura, bebola ayam, ayam perap dan pelbagai lagi.

“Kita juga dalam proses untuk membina breeder dan hatchery, iaitu proses untuk mengeluarkan anak ayam sendiri.

“Sekarang ini juga, kita sudah berjaya mengeluarkan dedak kita sendiri secara OEM atas jenama Amaize.

“Kita juga ada Naka Biolife iaitu sebuah makmal yang mengkaji penyakit-penyakit ayam, benih ayam, dedak ayam dan sebagainya supaya bebas daripada sisa darah dan tulang khinzir,” katanya.

Sering belajar kaedah baharu

Walaupun sudah berada di tahap yang amat membanggakan, Mazlina berkata mereka sentiasa berminat untuk belajar perkara baharu dalam perniagaan.

Jika dahulu ayam hanya dijual melalui pasaran tradisional seperti pasar tani dan pasar raya seperti Mydin dan The Store, kini mereka juga menekankan kaedah pasaran moden iaitu melalui media sosial.

Mereka amat menekankan kandungan yang memperluaskan lagi maklumat mengenai produk Ayam Bismi.

“Contohnya kita buat tawaran-tawaran dan sebagainya dan kita juga ajar ejen dan stokis kita supaya cakna dengan dunia AI agar mereka faham bahawa zaman sekarang bukannya orang cari produk kita, tetapi kita sendiri mestilah menguar-uarkannya.

“Buatkan orang tahu dan faham bahawa kita ada menjual produk itu,” katanya.

Langkah itu dilihat berhasil kerana Ayam Bismi telah mendapat pelbagai anugerah, sekaligus menandakan bahawa produk mereka dipercayai ramai.

“Setiap kali dapat anugerah, itu bermakna kita dilihat oleh pihak kerajaan dan juga dilihat oleh rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Rumah Makan Percuma

Lebih bermakna apabila mereka menyumbang semula kepada masyarakat dengan membuka Rumah Makan Percuma sejak tahun 2020. Ia adalah salah satu inisiatif untuk membantu orang-orang yang memerlukan.

Dibuka setiap Ahad hingga Jumaat, Rumah Makan Percuma kini menyediakan makanan kepada 600 orang setiap hari. Mazlina menganggap itu antara momen manis sepanjang berkecimpung dalam perniagaan ini.

“Sehingga kini kalau saya pergi ke Rumah Makan Percuma itu, saya merasakan itulah saat-saat bahawa Ya Allah tak sia-sia usaha perniagaan yang saya buat selama ini. Hasil daripada perniagaan tersebut, saya boleh menyumbang kembali kepada masyarakat, “ jelasnya.

Melangkah ke hadapan, Ayam Bismi berhasrat untuk memasarkan lebih banyak produk mereka ke kawasan Kuala Lumpur dan Selangor. Selain itu, perancangan untuk membawa produk ke peringkat antarabangsa juga ada, namun bukan dalam masa terdekat.

Mazlina turut ingin memperluaskan mesej bahawa Ayam Bismi bukan sekadar perniagaan ayam, sebaliknya fardu kifayah yang perlu difahami orang ramai.

“Bukan hanya mesejnya nak jual ayam tetapi mesejnya adalah pilihlah sesuatu makanan yang untuk kita makan dan untuk kita bawa balik kepada keluarga kita satu makanan yang halalan toyyiban.

“Jangan hanya berpandukan kepada logo halal itu sahaja. Ya orang kata tak apalah dia punya pasal, kan dah ada logo halal dekat plastik tu. Kira halal lah, tapi esok-esok di akhirat bukan itu yang akan kita jawab di hadapan Allah.

“Jadi, benda-benda begini kita nak bercakap kepada Malaysia amnya dan kepada dunia khususnya bahawa mencari yang halal itu wajib dan mencari yang halal itu bukanlah sekadar mencari yang halal.

“Kita mesti kena ada hasrat menjaga makanan ini kepada yang sebetul-betul halal. Sebab darah daging kita ni akan terbentuk daripada makanan yang kita makan,” katanya.

Nasihat kepada usahawan lain

Dalam masa yang sama, beliau turut menekankan pentingnya peranan usahawan Muslim untuk membantu antara satu sama lain dan menggalakkan orang ramai untuk menggunakan barang-barang tempatan.

Beliau juga menasihatkan usahawan-usahawan muda untuk berjimat cermat dan tidak mudah terpengaruh dengan orang lain.

“Berjimat cermat, berhati-hati, jangan lompat terlalu tinggi. Guna balik pepatah orang tua-tua kata, sentiasa ukur baju di badan sendiri. Jangan ukur baju di badan orang,” katanya.

Semoga lebih ramai usahawan Muslim yang maju dengan produk keluaran masing-masing dan dapat memberi manfaat kepada orang sekeliling.

Scroll to Top