ALOR SETAR: Pelbagai cabaran yang ditempuhi dalam industri ayam ketika ini tidak menjadi penghalang untuk Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) menganjurkan Cabutan Bertuah Ayam Bismi 2021 yang menawarkan hadiah menarik bernilai lebih RM100,000.
Malah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk menghargai dan meraikan pelanggan syarikat milikan penuh bumiputera itu menyediakan 20 televisyen plasma berukuran 50 inci dan 21 motosikal.
Peringkat pertama program yang berlangsung hari ini menyaksikan 10 motosikal dan 10 televisyen dibawa pulang pelanggan bertuah.
Majlis disempurnakan oleh Pengasas dan Presiden Ayam Bismi, Haji Jaffri Ahmad dan Pengarah Urusannya, Hajah Mazlina Kamarudin.
Turut hadir penceramah terkenal Kedah, Ustaz Abdullah Din, Pengurus Besar, Azli Saat di samping barisan pengarah syarikat dan ketua-ketua jabatan.
Selain cabutan bertuah Ayam Bismi turut mengatur aktiviti menarik seperti ‘Happy Hour’ di Pusat Jualan Utama (PJU) yang menawarkan ayam segar pada harga RM6.98 setiap kilogram bermula pukul 9.30 hingga 11 pagi.
Turut diadakan bagi memeriahkan majlis, demonstrasi masakan oleh Cef Din yang juga merupakan Duta Ayam Bismi.
Haji Jaffri ketika berucap pada majlis tersebut memberitahu, selain daripada berkongsi rezeki dengan pemberian zakat dan program CSR, syarikat turut mengadakan majlis cabutan bertuah sebagai menghargai dan merai pelanggan.
“Program ini berterusan sejak tahun lepas yang diadakan apabila kita mendapati jualan kita meningkat dan pelanggan kita bertambah. Ini juga satu bentuk CSR syarikat untuk menghargai pelanggan kita selama ini. Pelanggan yang banyak menyokong dan tanpa mereka tidak mungkin kita akan sampai ke tahap ini.
“Sesuatu yang menarik adalah hadiah daripada cabutan bertuah ini dapat memanfaatkan penerimanya apabila yang tak ada motosikal dapat motosikal untuk kegunaan mereka,” katanya.
Tambah beliau, walaupun di kala syarikat berdepan dengan pelbagai cabaran sepanjang tahun ini akibat penularan pandemik, perkara itu tidak dijadikan kekangan untuk meneruskan CSR ini.
“Tahun ini cukup mencabar apabila syarikat berdepan dengan pelbagai ujian, kerugian, ayam terpaksa dilelong, harga ayam yang tidak menentu, kenaikan harga dedak dan anak ayam.
“Namun syarikat berusaha gigih untuk berdepan dengan ujian ini sebaik mungkin,” katanya.
Dalam pada itu menurut Hajah Mazlina, ini adalah salah satu cara untuk Ayam Bismi menyumbang kembali kepada anggota masyarakat.
“Kita pilih motosikal kerana kita rasa ia akan memanfaatkan lebih ramai pelanggan. Ini adalah memberi semula kepada pelanggan dan kita harap pemberian seperti ini akan memberi manfaat kepada anggota masyarakat.
“Kita bukan hanya berniaga tetapi kita juga ingin melakukan fardu kifayah juga. Ini juga bukan semata-mata menjual ayam tetapi juga menyebarkan halal toyyiban,” katanya.
Katanya, majlis ini merupakan acara tahunan syarikat dan mendapat sambutan mengalakkan pada tahun lepas.
“Berdasarkan itu juga, tahun ini kita menambah nilai hadiah yang ditawarkan iaitu lebih RM100,000 berbanding RM80,000 pada tahun lepas,” katanya.
Bagi menyertai cabutan bertuah ini pelanggan hanya perlu membeli produk Ayam Bismi bernilai RM20 sebelum layak menerima satu kupon penyertaan.
Ia terbuka kepada semua pelanggan Ayam Bismi di semua pusat jualannya.
Pelanggan hanya perlu mengisi maklumat peribadi diri dan memasukkan kupon tersebut dalam kotak disediakan di Pusat Jualan Utama Simpang Empat dan 15 outlet di Kedah serta Perlis.
Cabutan bertuah bagi peringkat kedua akan diadakan tahun depan.
Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) bermula dengan sebagai syarikat memproses dan menjual ayam kecil-kecilan pada 1988, kemudian berkembang dalam segmen penternakan yang kini mempunyai 18 ladang bersepadu dengan kapasiti ternakan 2 juta ekor ayam.
Ayam Bismi yang bergelar syarikat milikan bumiputera sepenuhnya kemudian mengorak langkah memasarkan hasil ternakan secara borong dan runcit melalui penubuhan empat anak syarikatnya, Bismi Cergas Sdn. Bhd. yang menjalankan aktiviti penternakan, Ayam Bismi Sdn. Bhd. (aktiviti pemprosesan dan pemasaran), Naka Biolife Sdn. Bhd. (mengendali makmal diagnosis) dan Ayam Bismi Food Sdn. Bhd. (pemprosesan produk hiliran).
Pada masa ini, Ayam Bismi berkembang pesat dengan mencari ejen dan stokis di seluruh Malaysia untuk memasarkan Ayam Segar Beku (FFC) yang dipotong, dicuci dan dibekukan segera serta produk hiliran seperti Ayam Popcorn, Ayam Perap, Ayam Kisar, Rempah Ayam Goreng Tandoori, Bebola Ayam (Bisball). Terdapat 600 stokis-ejen di seluruh Malaysia.