POKOK SENA: Sebagai mendukung usaha kerajaan membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat, syarikat penternakan, pemprosesan dan pengedaran, Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) menyertai Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) 2021 berlangsung di Padang Awam Keda dekat sini hari ini.
Ayam segar dari ladang ternakan syarikat ini cuma dijual pada harga borong, RM8.50 sekilogram pada program tersebut iaitu antara 15 hingga 20 peratus lebih rendah berbanding dengan tempat lain.
Program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bermula semalam itu turut menawarkan harga jualan barangan keperluan asas pengguna yang lebih murah sebagai salah satu usaha membantu rakyat terutama dalam golongan B40.
Demikian penyertaan syarikat swasta seperti Ayam Bismi dalam program ini sebagai menyokong usaha kerajaan membantu rakyat.
Program berkenaan turut dikunjungi oleh Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Wan Romani Wan Salim yang melakukan walkabout di lokasi berkenaan.
Menurut beliau, pihaknya berpuas hati dengan jualan daripada pihak yang menyertai program tersebut hari ini.
“Ini adalah inisiatif kerajaan yang disasarkan untuk membantu kos sara hidup rakyat di seluruh 222 kawasan Parlimen dan di Kedah, 15 Parlimen bermula di Pokok Sena.
“Kita berkerjasama dengan enam agensi kerajaan dan syarikat Ayam Bismi. Alhamdulillah sambutan menggalakkan dan peniaga menjual pada harga tidak mahal termasuk ayam dan ikan, “ katanya.
Katanya, program itu akan diteruskan ke lokasi Parlimen lain setiap dua minggu.
Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) bermula dengan sebagai syarikat memproses dan menjual ayam kecil-kecilan pada 1988, kemudian berkembang dalam segmen penternakan yang kini mempunyai 18 ladang bersepadu dengan kapasiti ternakan 2 juta ekor ayam.
Ayam Bismi yang bergelar syarikat milikan bumiputera sepenuhnya kemudian mengorak langkah memasarkan hasil ternakan secara borong dan runcit melalui penubuhan empat anak syarikatnya, Bismi Cergas Sdn. Bhd. yang menjalankan aktiviti penternakan, Ayam Bismi Sdn. Bhd. (aktiviti pemprosesan dan pemasaran), Naka Biolife Sdn. Bhd. (mengendali makmal diagnosis) dan Ayam Bismi Food Sdn. Bhd. (pemprosesan produk hiliran).
Pada masa ini, Ayam Bismi berkembang pesat dengan mencari ejen dan stokis diseluruh Malaysia untuk memasarkan Ayam Segar Beku (FFC) yang dipotong, dicuci dan dibekukan segera serta produk hiliran seperti Ayam Popcorn, Ayam Perap, Ayam Kisar, Rempah Ayam Goreng Tandoori, Bebola Ayam (Bisball). Terdapat 600 stokis-ejen di seluruh Malaysia.