Ayam Bismi santuni anak-anak tahfiz sempena Ramadan

“TERIMA KASIH Ayam Bismi kerana meraikan kami dengan makanan yang sedap dan duit raya.”

Demikian ungkap Muhammad Adil Iquan Ahmad, 19, pelajar dari Maahad Tahfiz As Solehah Kuala Kangkong Simpang Empat, Alor Setar.

Sebanyak 15 pelajar tahfiz dari sekolah agama tersebut disantuni dalam Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat di Rumah Makan Percuma (RMP) sempena Ramadan ini, semalam.

Majlis tersebut juga diadakan sempena keberangkatan Presiden Ayam Bismi, Haji Jaffri Ahmad dan isteri yang juga Pengarah Urusannya, Hajah Mazlina Kamarudin ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah sepanjang Ramadan ini.

Lebih terharu Muhammad Adil Iquan turut melahirkan rasa syukur dengan rezeki yang dikurniakan menjelang Ramadan dan Syawal itu.

“Saya syukur dapat makan di sini dan meraikan kami. Semoga pemilik Ayam Bismi dan RMP ini dianugerah rezeki dan dipanjangkan umur oleh Allah SWT,” katanya.

Menurut rakannya, Muhammad Amir Ikram, 19, dia mengharapkan ia menjadi permulaan amal ibadah dan kurniaan rahmat daripada Allah SWT.

“Syukur rezeki Allah bagi ini. Kami berterima kasih dengan rahmat ini semoga agar beri pahala dan kebaikan untuk Ayam Bismi,” katanya yang sudah lima tahun menetap di pusat tahfiz berkenaan.

Selain menjamu selera dengan juadah tengah hari daripada RMP majlis turut mendapat tajaan daripada Nasi Daging Warisan yang beroperasi di Jalan Pegawai, Alor Setar.

Bagi pengasas RMP, Hajah Mazlina, acara tahunan ini diharapkan dapat memberi serba sedikit keceriaan kepada mereka yang kurang berkemampuan termasuk anak-anak istimewa itu.

“Saya selalu panggil mereka untuk membaca Yasin dan meraikan mereka dengan majlis makan serta sumbangan duit Raya dan zakat untuk sekolah berkenaan. Ayam Bismi berharap sumbangan yang tidak seberapa ini dapat menceriakan bakal hafiz ini,” katanya.

#ayambismi
#rumahmakanpercuma
#pelajartahfiz
#ramadan

Scroll to Top