AYAM Bismi Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) hari ini melakar sejarah apabila menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).
Dengan MoU tersebut Ayam Bismi sebagai syarikat penternak akan membekalkan sebanyak 60 tan ayam kepada Fama untuk dipasarkan di outlet sepanjang 2024 ini.
Menurut Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Tuan Haji Aminuddin Zulkipli, memorandum persefahaman tersebut adalah untuk mewujudkan satu kerjasama yang akan menyokong agenda keterjaminan makanan negara melalui pembekalan dan pengedaran ayam proses halal.
“Melalui kerjasama ini Fama berusaha untuk memastikan ketersediaan bekalan ayam proses halal bagi memenuhi keperluan dalam program-program jualan langsung dan outlet-outlet peruncitan Fama
“Pihak Ayam Bismi akan membantu menyediakan bekalan ayam proses kepada Fama mengikut keperluan,” katanya dalam satu sidang akhbar di Pusat Jualan Utama Ayam Bismi di Simpang Empat Kangkong di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Fama dan Ayam Bismi Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) di pejabat pengurusan syarikat berkenaan di sini hari ini.
MoU tersebut disempurnakan oleh Pengarah Fama Kedah, Puan Zuriana Mat Adam dan Pengarah Kanan Bahagian Segar Fama, Tuan Shahrizan Sudiman mewakili Fama sementara Ayam Bismi diwakili Pengerusinya, Haji Jaffri Ahmad dan Pengarah Urusannya, Hajah Mazlina Kamarudin.
Mengulas lanjut, kata Tuan Haji Aminuddin lagi, pemilihan Ayam Bismi bagi pasaran negeri Kedah itu adalah dengan reputasi syarikat ini sebagai syarikat mandiri yang menternak, memproses dan mengedar ayam selain status Halal.
“Sebagai tambahan, Ayam Bismi mempunyai rumah sembelihan yang berstatus Halal oleh Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) serta memiliki Sijil MeSTl iaitu Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ini sekaligus menjadikan jenama Ayam Bismi sebagai produk ayam halal di Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu menurut Hajah Mazlina, pihaknya terharu dengan keyakinan yang diberikan oleh Fama untuk membekalkan ayam bagi pasaran Kedah.
“Saya berterima kasih atas kepercayaan Fama ini dan kami berjanji untuk memberikan harga terbaik. Dalam soal produk dan kualiti, kami akan menyokong semua acara anjuran Fama,” katanya.
Tambah beliau, Ayam Bismi juga berharap kerjasama dengan Fama ini mampu menstabilkan harga di pasaran.
“Ayam Bismi sebagai syarikat penternak akan memberikan harga terbaik kepada Fama.
“Fama apabila menjual ayam ini kelak adalah pada harga Rahmah seterusnya memanfaatkan rakyat. Sokongan Ayam Bismi kepada Fama adalah sebagai ejen penstabilan ayam itu,” katanya.
#ayambismi
#ayamhalal
#fama