ALOR SETAR: Sebelas tahun lalu, anak muda ini nekad memilih untuk berniaga buah potong di jalanan walaupun menggenggam segulung ijazah dalam menggapai impiannya menjadi usahawan.
Nekad stokis Ayam Bismi, Zulhairi Ibrahim, 35, barangkali berbaloi kerana berkat usaha gigihnya dia kini mampu menjadi usahawan buah-buahan berjaya dengan pelbagai pencapaian dan memiliki dua premis unik di Batu Pahat, Johor yang berkembang pesat .
Selain pelbagai jenis buah-buahan dari seluruh dunia, Funfruits Grocer yang beroperasi di Taman Bukit Pasir dan Taman Universiti itu turut menjual pelbagai jenis barang runcit dan produk ayam segar beku (FFC), Ayam Bismi.
Mengimbas perjalanannya dalam dunia perniagaan kata graduan Pengurusan dari Universiti Sains Malaysia (USM) ini, kariernya bermula daripada sebagai penjual jeruk selepas menamatkan pengajian pada 2011.
“Lepas tamat belajar malah ketika belajar pun saya sudah berniaga jeruk. Ambil stok dari Pulau Pinang ke Batu Pahat dan jual di jalanan.
“Kemudian saya fikir bukan setiap hari orang makan jeruk, sebab itu saya beralih ke buah-buahan. Saya dan isteri mula jual buah potong dan kemudian buah-buahan di jalanan. Seterusnya barulah kami masuk pasar raya dekat Batu Pahat,” katanya di sini hari ini.
Sebagai usaha mengembangkan lagi perniagaannya itu, kata Zulhairi, dia bersama isteri, Noraliza Ahmad, 33, tekad membuka premis buah-buahan segar, Funfruits Grocer pada Januari 2020 setelah Malaysia dilanda penularan wabak pandemik Covid-19.
“Covid-19 memang menjejaskan perniagaan kami ketika itu kerana eksport produk kami termasuk Mango Shake ke luar negara seperti Singapura dan United Kingdom terpaksa dihentikan.
“Di sebalik ujian kami nekad nak terus berniaga. Dari situ muncul idea buka premis jual buah-buahan dan lahirlah, Funfruits Grocer, “ katanya yang melabur sebanyak RM400,000 untuk membuka perniagaan tersebut.
Di Funfruits Grocer terdapat lebih 100 jenis buah-buahan termasuk dalam kategori rare dari seluruh dunia, katanya.
Ditanya tentang keberaniannya menceburi bidang perniagaan yang dimonopoli oleh bangsa lain itu, kata Zulhairi, persaingan seumpama itu yang menjadi formula kejayaannya.
“Saya ceburi bidang ini sebab orang Melayu tak ramai dalam bidang ini. Itu tujuan dan matlamat saya nak terokai bidang yang agak asing. Saya gunakan pengalaman berniaga saya sejak 2011,” katanya.
Pelaburan berkenaan membuahkan hasil lewat kesungguhan usahawan muda ini yang diserlahkan lagi melalui pelbagai pengiktirafan kecemerlangannya sebagai penerima Anugerah Keusahawanan Johor dan Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Bumiputera 2021.
Menyentuh tentang penglibatannya sebagai stokis Ayam Bismi, kata Zulhairi, dia tertarik dengan perjuangan halal toyyiban syarikat ini ketika memilih untuk menjadi pembekal produk FFC di Batu Pahat.
“Bila saya bercadang untuk membuka Funfruits Grocer memang saya ingin jadi stokis Ayam Bismi juga kerana yakin dengan produk syarikat ini.
“Produk Ayam Bismi adalah yang pertama kami bawa masuk bila premis ini dibuka. Belian kami adalah 200 hingga 300 pek dan produk ini mendapat sambutan,” katanya.
Berkongsi tentang resipi kejayaannya, kata bapa kepada tiga anak ini, tiada jalan mudah untuk menggapai kejayaan melainkan usaha keras tanpa henti.
“Saya pernah berdoa depan Kaabah ketika menunaikan umrah pada 2019, bahawa saya nak jadi ikon usahawan walaupun saya bermula berniaga buah potong di jalanan dan tak glamor. Itu nasihat saya supaya jangan takut mencuba dan jangan lupa berdoa,” katanya.
Tambahnya, dia berhasrat untuk membuka lebih banyak cawangan Funfruits Grocer di seluruh Johor pada masa akan datang.