BANGI: Ayam Bismi dinobatkan
sebagai penerima Anugerah Jihad Bisnes Kategori Industri Perladangan yang julung kali diadakan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) bagi mengiktiraf pencapaiannya dalam
industri berkaitan.
Majlis penyampaian anugerah tersebut berlangsung di Bangi Convention Centre (BCC) di sini malam tadi yang disempurnakan oleh Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Negeri Selangor, Mohd. Zawawi Ahmad Mughi.
Hadir menerima anugerah berkenaan adalah Pengurus Besar Ayam Bismi, Azli Saat sebagai mewakili Hajah Mazlina Kamarudin selaku Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) yang juga Ahli Majlis Tertinggi DPIM.
Menurut Presiden DPIM, Mohammad Sahar Mat Din, agenda jihad bisnes adalah yang terbesar dalam organisasi tersebut sebagai melaksanakan tanggungjawab kepada ummah.
“Anugerah memartabatkan syarikat muslim yang bersungguh-sungguh berjuang dalam bisnes.
“Sebagai contoh Ayam Bismi yang memulakan perniagaan dengan memproses cuma 50 ekor ayam kini mempunyai 18 ladang dengan kapasiti ternakan 2 juta.
“Berjihad mengembangkan perniagaan inilah hasil perjuangan jihad… itulah kehebatan industri yang berteraskan jihad,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Majlis tersebut turut disertai team Fun Tour Ayam Bismi yang kebetulan berada di Bangi bagi sesi jelajahnya untuk mempromosikan produk baharu serta bertemu usahawannya.
Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) bermula dengan sebagai syarikat memproses dan menjual ayam kecil-kecilan pada 1988, kemudian berkembang dalam segmen penternakan yang kini mempunyai 18 ladang bersepadu dengan kapasiti ternakan 2 juta ekor ayam.
Ayam Bismi yang bergelar syarikat milikan bumiputera sepenuhnya kemudian mengorak langkah memasarkan hasil ternakan secara borong dan runcit melalui penubuhan empat anak syarikatnya, Bismi Cergas Sdn. Bhd. yang menjalankan aktiviti penternakan, Ayam Bismi Sdn. Bhd. (aktiviti pemprosesan dan pemasaran), Naka Biolife Sdn. Bhd. (mengendali makmal diagnosis) dan Ayam Bismi Food Sdn. Bhd. (pemprosesan produk hiliran).
Pada masa ini, Ayam Bismi berkembang pesat dengan mencari ejen dan stokis diseluruh Malaysia untuk memasarkan Ayam Segar Beku (FFC) yang dipotong, dicuci dan dibekukan segera serta produk hiliran seperti Ayam Popcorn, Ayam Perap, Ayam Kisar, Rempah Ayam Goreng Tandoori, Bebola Ayam (Bisball). Terdapat 600 stokis-ejen di seluruh Malaysia.