ALOR SETAR: Sejak lima tahun lepas, Madrasah Mazahirul Ulum di Bukit Choras di sini berlanggan bekalan ayam segar dengan Ayam Bismi.
Itu satu kemestian, kerana mencari yang halal toyyiban adalah tuntutan Islam apatah lagi dalam usaha melahirkan hafiz dan hafizah sekali gus membentuk insan bersahsiah terpuji.
Malah pertalian antara Ayam Bismi dan madrasah berkenaan yang ditubuhkan sejak 2002 itu berlangsung dengan keprihatinan syarikat ini menyumbang bekalan ayam setiap bulan di samping keperluan lain seperti perkakas elektrik untuk meringankan kos operasinya.
Bagi pihak pengurusan madrasah, secara asasnya, prinsip halal toyyiban yang menjadi penekanan utama Ayam Bismi ini selaras dengan dasar pendidikan madrasah berkenaan apabila makanan yang halal, suci dan bersih wajib untuk pembangunan insaniah pelajarnya.
Ciri tersebut penting dalam pembentukan diri setiap bakal hafiz dan hafizah, kata Pengetua Madrasah Mazahirul Ulum, Muhammad Hazli Abu Bakar yang 10 tahun memimpin institusi berkenaan.
“Untuk kuatkan hafalan dan mantapkan ingatan yang penting bagi pelajar madrasah yang saya tengok ada dua perkara penting jadi punca ingatan lemah iaitu, pertama makanan dan kedua, pandangan mata
“Kena jaga dua perkara ini, makanan dari sumber tidak halal itu sebab hafalan lemah… tak ingat… dan dia (pelajar) jadi tak mantap. Itu sebab madrasah tekankan pemakanan halal ini. Semua sumber bekalan kita datang daripada 100 peratus orang Islam,” katanya.
Menurut beliau, pihak madrasah memberi kepercayaan kepada ayam segar dari syarikat ini berdasarkan prinsip syarikat yang turut mementingkan halal toyyiban.
“Kita sebagai orang Islam penting jaga halal, itu arahan Allah SWT dan bukan sekadar halal tetapi toyyiban iaitu suci dan bersih.
“Jadi kewajipan kita juga untuk sebarkan tentang perkara ini. Alhamdulillah, banyak kali saya ke premis Ayam Bismi dan nampak bahawa syarikat ini menitikberatkan perkara itu selain harga yang murah dan paling penting halal,” katanya.
Sehingga kini terdapat lebih 270 pelajar di madrasah berkenaan termasuk perempuan yang belajar di sekolah berasingan terletak tidak jauh dari kawasan itu dengan 35 tenaga pengajarnya.
Terdapat dua pembelajaran di sini iaitu Pengajian Tahfiz yang melahirkan hafiz serta hafizah dan Pengajian Kitab dengan pelajar berusia 11 hingga 20-an dari seluruh Malaysia malah luar negara seperti Vietnam, Thailand, Kemboja dan Kanada.
Menurut Abdul Rahman, kos penyelenggaraan madrasah berkenaan adalah tanggungan pihak madrasah selain daripada sumber zakat, yuran dan derma orang ramai.
“Yuran pelajar di sini cuma RM90 sebulan dan murah kerana kita prihatin dengan nasib keluarga yang kurang berkemampuan. Mungkin sebab itu madrasah ini jadi perhatian ramai termasuk dari luar negara.
“Kemasukan ke sini kami tapis melalui temuduga kerana ingin memastikan semua pelajar ke sini betul-betul berminat untuk menjadi hafiz dan hafizah,” katanya.
Sebanyak RM50,000 diperlukan sebulan untuk kos penyelenggaraan madrasah dan kebanyakannya adalah daripada dermawan, jelas beliau lagi.
“Selain itu, kami juga dalam usaha membina madrasah khusus untuk pelajar perempuan, Lilbanat Alimah kerana premis sekarang di sini. Memandangkan PKP pembinaannya terbantut dan kini dimulakan kembali,” katanya.
Bagi mereka yang ingin menyumbang membantu kos operasi dan pembangunan madrasah ini boleh berbuat demikian melalui akaun, 552022632175 (Maybank) – Madrasah Mazahirul Ulum.