Momen keceriaan RMP kembali saat boleh ‘dine in’

 

ALOR SETAR: Kemeriahan dan keseronokannya berbeza andai dapat berkumpul dan makan bersama. Lebih tererat silaturahim sesama sendiri yang teramah biar pun dengan sedikit senyuman tatkala menjamu selera.

Itulah keindahan Rumah Makan Percuma (RMP) yang ‘hilang’ sejak beberapa lama dan kini muncul semula apabila premis berkenaan kembali dibuka untuk makan di sini  (dine in) bermula hari ini hari ini setelah beberapa lama diagih secara bungkus sahaja.

Keterujaan orang ramai yang kebanyakannya merupakan pengunjung setia RMP terlihat lebih awal apabila masing-masing membanjiri premis rumah kedai berkenaan sebelum pukul 12 tengah hari.

Lebih seronok daripada bungkus dan bawa pulang, itu luah kebanyakan pengunjung kerana berpeluang menjamu selera dengan juadah  berupa nasi ayam istimewa sentuhan tukang masak RMP, Azura Zainol.

Ramai yang barangkali tidak mengetahui bahawa langkah membuka semula RMP untuk makan di sini adalah daripada pengasasnya sendiri, Hajah Mazlina Kamarudin yang ingin mengembalikan aura premis ini yang bukan saja sebagai tempat orang ramai berkumpul mendapatkan makanan percuma tetapi mengerat silaturahim.

Tidak dinafikan RMP turut terkesan dengan pelbagai peraturan terutama ketika PKP kala pandemik Covid-19 melanda namun syarikat ini berusaha sedaya upaya untuk membolehkan RMP beroperasi bagi meringankan beban penduduk setempat terutama dari kalangan kurang berkemampuan.

Bagi pengunjung, mereka lebih teruja terutama dalam kalangan yang bekerja di sekitar kawasan Simpang Empat ini.

Menurut Tai Sheng Gaik, 28, dari Tokai, yang bekerja sebagai tukang besi di Tandop, dia tidak ralat untuk menunggang motosikal ke sini setiap hari untuk mendapatkan makan tengah hari percuma.

“Saya lebih suka makan di kedai macam ini sebab boleh bawa isteri, kalau bungkus saya seorang sahaja makan. Tadi saya balik rumah dulu dan jemput dia datang.

“Saya suka makan di sini sebab makanan semua sedap-sedap,” katanya yang ditemani isteri, Lim Siew Lay, 29.

Begitu juga bagi Siti Rohani Ahmad, 49, dari Sala Kechil, yang ditemani anaknya ke RMP hari ini berkata, dia teruja kerana berpeluang makan di RMP.

“Selalu datang ambil bungkus dengan anak hari ini makan di RMP. Ini pertama kali makan di sini. Alhamdulillah, mana nak cari orang bagi kita makan percuma macam ini,” katanya.

Begitu juga untuk Abu Bakar Chin, 73, dari Tebengau, dan rakannya, Hussain Musa, 60, dari Selarong Padang Panjang yang ceria menikmati juadah kegemaran mereka itu bersama hari ini.

RMP yang beroperasi berdekatan dengan Pusat Jualan Utama Ayam Bismi di Kangkong Simpang Empat dilahirkan pada 6 Julai tahun lepas dan ia diinspirasikan oleh Pengasas Ayam Bismi, Haji Jaffri Ahmad dan isterinya, Hajah Mazlina Kamarudin.

RMP juga melalui fasa sedih apabila terpaksa menutup operasi pada 25 Mei hingga 2 Julai lepas  sebagai usaha mencegah penularan wabak Covid-19 yang kembali mengganas sehingga pelaksanaan PKP 3.0.

Ketika ini RMP menyediakan makanan tengah hari percuma untuk 400 pengunjung termasuk pekerja Ayam Bismi.

RMP beroperasi pada pukul 12 tengah hari dari Ahad sehingga Jumaat dan mengikut peraturan ditetapkan pihak berwajib, semua pengunjung mesti lengkap dua dos vaksin Covid-19.

Scroll to Top