Penulis : Jamliah Hj Abdullah 9 Jun 2021
Mantan Wartawan Eksekutif Utusan Melayu (M) Bhd.
ALOR SETAR: Rumah Makan Percuma (RMP) yang memberikan makanan percuma kepada orang ramai sejak Julai tahun lepas mendapat perhatian Perkeso Kedah apabila menyediakan peluang pekerja kepada seorang pesakit buah pinggang.
Wakil daripada agensi berkenaan hari ini memilih Azliza Zainol, 34, yang menghidap penyakit itu sejak berusia 16 untuk ditemu bual bagi program Return To Work Perkeso yang akan diadakan pada Jumaat ini.
Menurut Pengurus Kes Perkeso Alor Setar, Faizal Othman, pihaknya tertarik dengan usaha RMP yang diuruskan oleh Ayam Bismi sebagai majikan yang memberi peluang kepada pekerja yang mempunyai masalah kesihatan seperti Azliza.
“Pengisian program antaranya bual bicara bertajuk, Penyakit Buat Pinggang: Kesihatan vs Kerjaya. Kami tertarik dengan peluang pekerjaan yang diberikan RMP kepada Azliza yang pernah mendaftar dengan Perkeso di bawah program Return to Work sebelum ini.
“Kami berharap perkongsian kisah Azliza ini akan mencetuskan semangat kepada pesakit sepertinya untuk gigih dan berani kembali bekerja. Selain itu kita berharap lebih banyak majikan seperti Ayam Bismi ini memberi peluang kerjaya kepada pesakit seperti Azliza,”katanya.
Turut hadir dalam sesi temu bual itu ialah, Ketua Jabatan Sumber Manusia, Norsyila Mohd. Zaki dan Pengurus RMP, Wan Fazlina Wan Fhuad.
Berita Bismi pada 15 Jun lepas, menyiarkan tentang kisah Azliza yang sukar mendapat pekerjaan kerana penyakit yang dideritainya itu. Apatah lagi dia perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu dari pukul 5 pagi sehingga 9 pagi.
Di saat wanita itu hampir putus asa, syarikat berkenaan menawarnya bekerja sebagai pembantu tukang masak di RMP.
RMP yang beroperasi di premis kedai makan berdekatan Pusat Jualan Utama dan Kilang Memproses Ayam Bismi itu diinspirasi oleh Pengasas dan Presiden Bismi Empire Sdn Bhd., Haji Jaffri Ahmad dan isteri, Hajah Mazlina Kamarudin yang juga Pengarah Urusan syarikat sebagai rasa prihatin kepada masyarakat setempat terjejas akibat pandemik tahun lepas.
Kini, setiap minggu dari Ahad sehingga Jumaat, RMP menyediakan lebih 400 pek makanan untuk tetamu dan pekerja Ayam Bismi.
Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) adalah sebuah syarikat milikan bumiputera yang menekankan konsep halal 100 peratus kepada ternakan, sembelihan dan pengedaran produk.