ALOR SETAR: Ayam Bismi bukan saja tempat mencari rezeki kerana bagi sesetengah pekerjanya, ia menjadi tempat mereka bertemu jodoh.
Istimewa dan hebat bukan? Malah tiada rahsia dalam kalangan warganya, Ayam Bismi menemukan banyak pasangan yang berlangsung dengan ijab dan kabul.
Barangkali terinspirasi dengan majikan mereka juga, Haji Jaffri Ahmad dan Hajah Mazlina Kamarudin yang mendirikan rumahtangga lebih tiga dekad lalu dan sama-sama gigih membangunkan Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) sejak saat itu.
Terbaharu adalah Ketua Operasi Kilang Ayam Bismi, Muhammad Azizi Md Azhar, 25, yang bertemu dengan surinya, Nuradlin Adlina Fadzil, 24, yang merupakan pembantu pentadbiran syarikat berkenaan.
Kedua-dua pasangan sejoli itu juga selamat diakad-nikahkan dalam satu majlis sederhana ekoran pandemik Covid-19 di Masjid An-Nur Tok Keling dekat sini pada 29 Ogos lepas.
Di hadapan wali yang merupakan ayah kepada pengantin perempuan Azizi dan Adlin dinikahkan oleh imam masjid berkenaan, Haji Ahmad Sholahudin Mohamad.
Dengan sekali lafaz Adlin sah menjadi milik Azizi yang turut mempersembahkan mas kahwin sebanyak RM1,000 dan sebentuk cincin.
Menurut Azizi, dia dan Adlin bercinta sejak tiga tahun lepas ketika kedua-dua bekerja di syarikat berkenaan.
Menceritakan awal perkenalan mereka kata Azizi, ia bermula setelah kedua-dua bekerjasama untuk menyediakan satu laporan bagi mesyuarat jabatan.
“Saya yang ‘buli’ dia (Adlin) untuk buat laporan tapi dia tenang saja lepas tengok sikap dia yang sangat penyabar saya terus mengurat,” katanya.
Menurut Adlin, dia bersyukur kerana setelah majlis penikahan mereka itu berjalan lancar setelah tertangguh pada 13 Ogos lalu.
“Berpeluang bekerja di bawah satu bumbung bersama suami akan dijadikan semangat untuk sama-sama membangunkan syarikat ini,” katanya.
Sementara itu, menurut Hajah Mazlina yang mengucapkan tahniah kepada pengantin baharu itu dan mendoakan perkahwinan mereka kekal sehingga ke anak cucu.
Katanya, bukan sesuatu yang mengejutkan jika banyak perkahwinan berlaku dalam Ayam Bismi memandangkan nilai kerja yang diterapkan di syarikat berkenaan.
“Itu termasuk kolaborasi, belas kasihan yang berjaya menyatu dalam diri bekerja. Apabila pekerja pegang nilai-nilai tersebut yang sama mereka rasa masing-masing sepadan.
“Itu mungkin sebab berlaku banyak perkahwinan sebumbung di Ayam Bismi termasuk dua anak saya,” katanya.
Nasihat beliau, pasangan suami isteri harus mengambil sikap pandai membawa diri dan membezakan peranan masing-masing ketika berada di pejabat dan rumah.
“Orang putih cakap, kena pandai tukar topi ketika di pejabat dan rumah. Malah saya dan haji di rumah lain dan di pejabat kami lain tidak kira kami suami isteri.
“Apa yang penting jangan ego kerana pasti ada blind spot. Setiap perkahwinan pasti ada masalah tak mungkin perkahwinan tiada masalah bergantung kepada kita pasangan selesai masalah itu. Semua ada sikap masing-masing dan penting kita ambil sikap positif berdepan masalah itu,” katanya.
Sehingga kini terdapat 17 pasangan suami isteri sebumbung di Ayam Bismi.