KUALA NERANG: Terbayang keceriaan dan keterujaan warga emas, Siti Haminah Taiff, 72, menyambut kedatangan team Bismi Prihatin di rumahnya di Kampung Rambutan di sini baru-baru ini.
Walaupun melangkah masuk ke terataknya itu, yang kelihatan hanya dinding kayu yang kian mereput menanti masa menyembah bumi dan bumbung yang berlubang sana sini.
Namun kedatangan team Bismi Prihatin dengan ditemani aktivis amal di kawasan itu, Merah Hasan dan suaminya, Abidin Mat nyata disambut dengan kegembiraan.
“Terima kasihlah mai (datang) tengok makcik,” katanya tanpa henti-henti.
Warga emas itu memberitahu dia lebih selesa tinggal sendirian walaupun di rumah usangnya itu.
“Anak-anak sudah ada rumah sendiri takkan nak dok (tinggal) dengan makcik. Makcik pun lebih suka tinggal sini tak apalah rumah depa pun bersebelahan saja,” katanya yang mendapat bantuan RM300 setiap bulan daripada JKM.
Dalam ziarah tersebut Bismi Prihatin turut menyampaikan sumbangan ayam segar kepada warga emas ini yang disambut gembira olehnya.
“Ada ayam juga, Alhamdulillah. Terima kasih sekali lagi,” katanya.
Bantuan Ayam CSR itu merupakan satu aktiviti amal syarikat Bismi Empire Sdn. Bhd. untuk membantu golongan memerlukan terutama asnaf mendapat makanan berkhasiat.
Selain Siti Haminah, turut diziarahi beberapa lagi asnaf di kawasan tersebut untuk menyampaikan sumbangan Ayam CSR berkenaan.
Itu termasuk sekeluarga enam beranak yang terpaksa menumpang sebuah rumah peninggalan keluarga yang usang kerana tidak mampu menyewa rumah lain.
Dalam kesempitan hidup keluarga berkenaan terpaksa diami rumah yang bocor selain bilik hanya berdindingkan kain.
Menurut Nornadia Abdullah, 29, dia dan suami, Mohd. Shahrudin Hanafi, 36, serta empat anak mereka yang berusia 12 hingga dua bulan tinggal di rumah tersebut sejak dua tahun lepas.
“Ini rumah arwah tok kami nak sewa luar memang tak mampu sebab suami kerja motong (penoreh) saja.
“Dulu tinggal dengan mak mentua sebab nak berdikari itulah kami pindah sini,” katanya.
Singgahan team Bismi Prihatin di Kampung Kuala Kejai di Padang Temak di sini turut menemukan pasangan suami isteri serta empat anak mereka yang juga mendiami rumah seorang kenalan mereka secara ihsan.
Mohd. Yusuf Md. Noor, 32, dan isterinya, Halimatul Saadiyah Abdullah, 31, serta empat anak mereka tinggal di rumah berkenaan sejak beberapa tahun lepas.
“Mula-mula memang sewa tapi lama-lama kami tak mampu nak bayar. Tuan rumah pun baik hati sudi bagi kami duduk percuma selagi kami tolong jaga rumah ini dengan baik,” katanya yang bekerja sebagai tukang kebun di sebuah sekolah.
Aktiviti amal, Ayam CSR merupakan salah satu khidmat sosial korporat (CSR), syarikat Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) dengan pemberian ayam percuma kepada golongan memerlukan.
Melalui aktiviti berkenaan anggota masyarakat boleh menyumbang ke dalam dana Ayam CSR tersebut bagi membolehkan ia diagih kepada memerlukan. Ayam Bismi turut menyediakan subsidi bagi pembelian ayam untuk tujuan tersebut.
Agihan terbaharu di beberapa kampung di sini semalam merupakan sumbangan daripada Jasmiza Solutions Sdn Bhd.